27 February 2014

Rafizi: Siasat semula Musa Aman

 | February 27, 2014
Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya
rafizi1PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyeru supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kembali siasatan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam kes wang RM40 juta yang dikaitkan dengan kutipan dari syarikat balak dengan bukti-bukti pemindahan wang melibatkan Michael Chia.
Pemimpin muda itu berkata, hukuman bersalah ke atas Michael itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya.
Mahkamah Sesyen Sandakan di Sabah semalam mengenakan hukuman penjara setahun dan satu sebatan ke atas Michael  yang terbabit dalam kes cubaan menipu wang RM2.5 juta 10 tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Sandakan Elsie Primus ketika menyampaikan hukuman itu pada Rabu lalu berkata Michael telah didapati bersalah atas cubaan menipu dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kesnya.
Katanya, Michael tidak mempunyai apa-apa pengaruh atau jawatan di dalam kerajaan, maka dia sendiri tidak ada kuasa untuk memberikan permit membalak.
“Hakikatnya dia boleh mengutip wang dari syarikat-syarikat balak memberi gambaran bahawa syarikat dan pengusaha balak tahu bahawa dia menjadi orang tengah bagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa dan pengaruh dalam menentukan pemberian permit balak.
“Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael  menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Musa.
“Fakta kes sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat dari ICAC di Hong Kong menunjukkan bahawa memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah,” kata Rafizi dalam kenyataan media hari ini.
Tamparan kepada Nazri
Menurut beliau, keputusan bersalah terhadap Michael juga adalah satu tamparan kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael, terutamanya apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik lelaki itu seperti yang didedahkan sebelum ini.
Nazri bagaimanapun, tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan  Musa dan Michael yang mengundang kontroversi sebelum itu.
Rafizi berkata, walaupun keputusan terhadap Michael ini adalah satu peningkatan baik yang ditunjukkan SPRM, rakyat memerhati sama ada SPRM bakal mendakwa penjawat-penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat sama.
Namun, menurut Rafizi, kes yang membabitkan permit membalak di Sabah itu adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalah gunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan peribadi.
Jika tidak, selama-lamanya SPRM dilihat hanya mendakwa bilis sedangkan jerung terus terlepas, tambah beliau. - FMT
Turut baca

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive