*JENAYAH atau bukan jenayah? Kalau mengikut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tawaran RM1,200 untuk sesiapa yang berani menampar Teresa Kok, bukanlah satu jenayah.

Tetapi kenyataan menteri itu segera disangkal oleh sesetengah pengamal undang-undang yang menegaskan bahawa tawaran tersebut jelas berbentuk intimidasi jenayah dan hasutan keganasan.

Itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 503 dan 505 Kanun Keseksaan, yang sekiranya disabitkan akan membawa hukuman penjara dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semuanya gara-gara tindakan sekumpulan NGO Islam yang berasa amat marah dengan klip video Teresa ‘Onederful Malaysia’ sehingga membuat tawaran berkenaan dan menganggap YB DAP Seputeh itu biadab.


Walaupun polis sedang menyiasat kumpulan NGO tersebut pemimpin mereka tetap tegas dan tawaran RM1,200 itu masih dibuka, sambil berkata: “Kami bersedia menghadapi tindakan undang-undang.”

Namun setakat ini, sudah lebih dua minggu tawaran dibuat, belum ada yang berani menampar Teresa yang masih belum berpunya itu. Siapa agaknya yang akan dapat RM1,200 itu?

*MARAH betul kumpulan NGO Islam itu terhadap klip sepanjang 11 minit 30 saat yang dikeluarkan oleh YB berkenaan sempena Tahun Baru Cina, yang dikatakan antaranya menyindir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tidak sahaja menawarkan wang tunai RM1,200, NGO-NGO tersebut juga berdemonstrasi sambil menyembelih ayam. Seperti yang dilaporkan media, darah sembelihan itu dilumurkan pada kain rentang yang mengandungi gambar beberapa pemimpin DAP.

Maka ada yang bertanya, apakah tindakan NGO tersebut mencerminkan sikap Islam? Apa perlunya sembelih ayam dan melumurkan darah ayam pada wajah pemimpin-pemimpin DAP tersebut.

Saya tidak arif sangat mengenai hukum-hakam agama, juga tidak tahu undang-undang kanun jenayah yang boleh dikaitkan dalam isu ini. Biarlah mereka yang arif menentukan perkara ini.

Namun, bagi orang biasa yang tidak menjadi ahli mana-mana parti, semua ini adalah satu lagi sandiwara @ drama politik yang tidak berkesudahan. Walaupun rakyat sudah meluat dengan drama seperti ini, pelakon-pelakon yang terlibat patut juga diberi anugerah.

*BAGI sesetengah orang tawaran RM1,200 dan sembelih ayam itu boleh menghangat dan merancakkan lagi suasana politik menjelang Pilihan Raya Kecil Dun Kajang pada 23 Mac ini.

Sepatah kata seorang penganalisis politik, tindakan sekumpulan NGO Melayu berkenaan hanya memberi kempen tambahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang PRK Dun Kajang itu.

Menurut pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, kontroversi yang tercetus itu telah memberi banyak kelebihan kepada Anwar.

Katanya: “Ini secara tidak langsung telah memberi kempen percuma kepada Anwar, kerana harus diingat masyarakat di Kajang berada dalam kategori bandar yang sentiasa terdedah dengan perkembangan terkini negara, mereka dengar dan mereka tahu.”

Kalau begitu lebih baik isu video Teresa Kok ditamatkan sahaja. Lagi pun lebih lama isu ini dimainkan, lebih popular pula YB berkaca mata itu.

*AKHIR kalam, walaupun hari penamaan calon belum tiba, Anwar sudah rancak mengadakan pertemuan di Kajang. Ketua pembangkang yang juga bakal calon PRK itu menegaskan kempen yang dilakukan tidak menyalahi undang-undang.

“Kalau ikut kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Aziz Yusof, ceramah yang saya buat sekarang tidak melanggar mana-mana Akta Pilihan Raya. Kalau polis hendak siasat, siasatlah,” katanya dalam satu ucapan di Kajang beberapa hari lalu.

Katanya dia bukan berkempen hanya “sesi penerangan bertujuan menjelaskan tentang beberapa isu kepada orang Kajang.”
 -
Kalau begitu, parti-parti lain pun bolehlah mengadakan ‘sesi penerangan’ seperti Anwar.- SH 16/2/14