05 March 2014
BERSIH lancar kempen sokong Mejar Zaidi
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melancarkan kempen untuk menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua pertuduhan ke atas seorang pegawai pasukan tersebut Mejar Zaidi Ahmad berhubung isu dakwat kekal dalam pilihan raya umum lalu.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata NGO itu juga akan mengemukakan tuntutan rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera agar kesemua tujuh pertuduhan ke atas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.
Katanya, “Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi” itu meminta pengguna media sosial memuatkan gambar dengan slogan sokongan kepada Mejar Zaidi melalui laman Facebook dan Twitter.
Katanya, kempen itu bermula pada bulan April apabila TUDM memulakan perbicaraan ke atas pegawai berusia 45 tahun itu.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.
“Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata apa yang benar demi kepentingan awam?
"BERSIH 2.0 percaya bahawa ramai rakyat Malaysia merasakan Mejar Zaidi tidak seharusnya dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran," kata Maria dalam kenyataannya.
Zaidi mungkin kehilangan pencen dan faedah lain sekiranya didapati bersalah, katanya lagi yang menganggap perkara itu sebagai ketidakadilan yang tidak boleh diterima oleh rakyat
Beliau meminta pengguna media sosial menggunakan slogan “Gugur Pertuduhan Mejar Zaidi” atau “Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi” dan juga hashtag #sokongzaidi.
Maria turut menyeru orang awam agar menunjukkan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan pada 8 April hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Pegawai yang bertugas di Pengkalan Udara Butterworth itu pada 7 Februari lalu mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 atas tuduhan memberi kenyataan media berkenaan isu dakwat kekal.
Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi tuduhan menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan hasutan, mengikut di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972. - mkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment