Tanah Suci Makkah adalah tempat untuk beribadat dengan penuh takzim dan rendah diri. Hati kita perlu bersih sebersihnya tanpa ada sekelumit pun rasa bangga diri, bongkak apatah lagi terlalu meninggi diri.
Sebelum berangkat ke Tanah Suci amat perlu bertaubat sepenuh hati, insaf akan kesilapan diri atau dalam erti kata lain bermuhasabah diri sepenuhnya.
Cerminlah diri sendiri, adakah kita bersih daripada segala penyakit hati seperti takbur dan suka berlagak seolah-olah kitalah paling hebat di dunia ini.
Lihat di sekeliling kita, betapa kerdilnya kita berbanding kuasa Ilahi yang mencipta seluruh alam, sedangkan kita hanyalah insan yang serba-serbi kekurangan.
Buat taubat nasuha
Untuk itu sebelum berangkat pastikan diri sudah bertaubat nasuha, bersih daripada segala dosa dan lengkapkan diri dengan ilmu agama sebaik mungkin.
Selain mempelajari apakah rukun haji atau cara membuat umrah, amat perlu kita mempelajari budaya hidup di Makkah, bukan membabi- buta saja kerana silap langkah padah menanti.
Pengalaman kali pertama ke Makkah bersama beberapa teman sepejabat amat berharga untuk saya mengambil iktibar daripadanya dan saya ingati selamanya.
Selepas bersarapan pagi di hotel, saya bersama yang lain ke Tanaem untuk bermiqat dengan menaiki bas awam. Saya tersilap, ingatkan melalui pintu depan, sedangkan wanita perlu menggunakan pintu belakang.
Ditegur pemandu bas
Pemandu bas menegur saya dalam bahasa Arab yang tidak saya fahami, tetapi rasanya dia mengatakan wanita perlu menggunakan pintu belakang. Saya memang mulut celupar membalas balik, kata saya, “pintu depan atau belakang sama saya kerana kita akan ke destinasi yang sama”.
Pak Arab itu lantas memarahi saya, jadi terpaksalah saya keluar semula dari bas itu dan memasuki pintu belakang khusus untuk wanita. Setiba di Tanaem, saya terpijak jubah saya sendiri lantas tersungkur, tak semena-mena, teman saya berkata, “itulah mulut tak reti nak jaga, ini Tanah Suci tau bukan Malaysia”.
Lutut saya luka dan saya beristighfar banyak kali, baru saya sedar jahat mulut dapat balasan Allah sekelip mata saja, tak sampai setengah jam.
Sejak itu saya bertaubat dan mematuhi apa saja peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi barulah saya dapat menunaikan ibadah sepenuhnya.
Tetapi, itu sekali, kali kedua pula saya melalui jalan dari hotel ke Masjidil Haram, ramai peniaga memanggil “Ya Rahmah Ya Rahmah, belilah kapet kami”, mereka memang pandai berbahasa Melayu bila mahu menjual barang kepada rombongan Malaysia.
Tak henti niaga waktu azan
Dalam hati saya berkata, azan dah berbunyi mereka ni sibuk lagi berjual, tak sembahyang Maghrib ke? Malangnya beberapa langkah selepas itu, entah dari mana datangnya paku karat saya terpijak, tak pasal- pasal darah menitis di kaki saya, sarung kaki yang pakai dipenuhi darah.
Aduh, sakitnya bukan kepalang, terdengkot-dengkot saya untuk ke Kaabah, tetapi melihatkan darah yang banyak saya terus ke telaga Zamzam membersihkannya. Ya Allah, saya cakap sendirian dalam hati Allah marah dan terus mendapat balasannya, lantas saya bertaubat dan tidak lagi celupar serta sentiasa rendah diri.
Tidak cukup dengan itu, saya ditempatkan sebilik dengan nenek berusia 75 tahun dan seorang lagi 63 tahun yang benar-benar mencabar kesabaran saya. Banyaknya ragam yang ditunjukkan, dah tua kurang pendengaran.
Semua ini saya dapat bertahan, kerana disiplin diri semakin baik. Setiap kali tiba waktu makan, saya sediakan makanan untuk mereka. Begitu juga bila mereka meminta saya membelikan barang keperluan atau cenderahati, susah payah saya pasti membelinya, mungkin naluri saya terhadap orang lebih tua amat tersentuh, malah saya sedih melihat mereka, seolah-olah terbayang di mata saya jika saya tua nanti, macam tulah agaknya.
Atau memang tabiat asal saya gemar melayan orang tua kerana teringat datuk dan nenek yang sudah sekian lama pergi serta abah mahupun mak di kampung yang saya jaga selama ini. Saya pastikan mereka hidup aman sejahtera.
Alhamdullillah, syukur kepada Allah, akhirnya umrah saya disempurnakan dengan baik dan dua kali dapat mengucup Harajul Aswad, sehingga masih teringat baunya hingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment