08 March 2014

Vietnam sahkan pesawat MAS terjunam ke dalam laut


MARCH 08, 2014
LATEST UPDATE: MARCH 08, 2014 02:18 PM
Pihak berkuasa di Vietnam mengesahkan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Beijing pagi tadi telah terhempas di Laut Cina Selatan, menurut sebuah akhbar Vietnam.
Laporan akhbar Tuoi Tre memetik admiral tentera laut Ngo Van Phat sebagai berkata radar tentera mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang itu terhempas ke dalam laut, 153 batu selatan Pulau Phu Quok.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Malaysian Airlines, Ahmad Jauhari Yahya dalam sidang media pagi tadi berkata penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu terdiri daripada 14 warganegara berbeza

Mereka termasuk warganegara 152 orang rakyat China, Malaysia (38), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), U.S (3), New Zealand (2), Kanada (2), Ukraine (2), Russia (1), Itali (1), Belanda (1), Taiwan (1) dan Austria (1).
Sebahagian daripada ahli keluarga yang sampai ke Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 8 Mac, 2014. Sebahagian daripada ahli keluarga yang sampai ke Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 8 Mac, 2014.Bercakap pada pemberita di sidang media di Sama-Sama Hotel di Sepang, Ahmad berkata kenyataan rasmi hanya dikeluarkan pada 8.30 pagi memandangkan pesawat tersebut masih mempunyai baki minyak mencukupi untuk terbang sehingga waktu ini.
"MAS sahkan pesawat MH370 hilang perhubungan dengan pusat kawalan udara Subang pada 2.40 pagi. Bagaimanapun, ia memiliki baki minyak mencukupi untuk terbang ke Beijing," kata Ahmad.
Beliau juga berkata spekulasi mengatakan pesawat yang berkongsi kod bersama China Southern Airlines telah mendarat di Nanning masih belum dapat disahkan.
Pesawat Boeing 777-200 tersebut berlepas dari Malaysia pada 12.41 pagi dan sepatutnya di Beijing pada 6.30 pagi tadi (waktu China), tetapi hilang pada 2.40 pagi.
"Pesawat MH370 dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah berusia 53 tahun yang mempunyai jumlah jam penerbangan lebih 18,365 jam.
"Pegawai pertama adalah Fariq Ab Rahman berusia 27 tahun yang mempunyai jumlah penerbangan 2,763 jam," kata Ahmad.
Beliau berkata Zaharie sudah berkhidmat dengan MAS pada 1981 dan Fariq pula pada 2007.
Ahmad mengesahkan sudah menghubungi pihak berkuasa Vietnam untuk meminta bantuan bagi mencari pesawat MH370, yang berusia 11 tahun dan 10 bulan itu.
Ketika ditanya sama ada MAS akan menyekat penerbangan pesawat Boeing 777-200, Ahmad berkata ia bergantung jika terdapat bukti kegagalan teknikal.
Malah, pengeluar pesawat tersebut masih belum membuat sebarang cadangan, tambah beliau.
Sebelum itu, MAS menghubungi ahli keluarga terdekat dan anak kapal pesawat MH370 selepas ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara awal pagi ini.
Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter, menggesa ahli keluarga penumpang dan anak kapal bertenang.
"Kepada ahli keluarga penumpang dalam pesawat, bertenang dan dapatkan maklumat yang sahih. Kami akan maklumkan. Doa untuk semua," tulis beliau.
MAS berkata ia akan menyediakan laporan terkini dari masa ke semasa. Orang ramai boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat.
Ahli keluarga penumpang dan anak kapal disarankan berkumpul di Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA. Untuk maklumat, hubungi 03-8787 1269.
Orang ramai juga boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk maklumat lanjut. – 8 Mac, 2014.- TMI

Kehilangan Pesawat MAS MH370 Jadi Liputan Utama Portal Berita Seluruh Dunia
Laporan Daily Mail online yang merupakan portal berita nombor satu dunia turut menyiarkan mengenai kehilangan pesawat milik MAS pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang sedang dalam perjalanan dari sini ke Beijing awal pagi Sabtu telah mendapat liputan meluas pelbagai agensi berita antarabangsa dan dunia.
Ini termasuklah portal berita nombor satu dunia, The Mail Online (www.dailymail.co.uk) yang memaparkan kisah kehilangan pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sebagai berita utama mereka.
Dengan judul 'Fears 239 may have died in air crash as Boeing 777 mysteriously vanishes over Vietnam two hours after taking off from Malaysia', portal itu membuat laporan dari pelbagai sudut termasuk mendapatkan pandangan beberapa pakar penerbangan dan pesawat.
Menurut The Mail Online, jika benarlah pesawat itu hilang, ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.
Ini termasuklah malapetaka kegagalan enjin, juruterbang cuba mengelak pesawat berkenaan daripada bertembung dengan pesawat lain atau pun mungkin juga disebabkan oleh letupan.
Menurut portal berita itu lagi, pesawat MAS MH370 itu tidak mengeluarkan isyarat kecemasan sejurus sebelum ia dilaporkan hilang dari radar.
Jika ini benar, ia memberi indikasi yang pesawat itu ditimpa malapetaka tanpa sempat memberi amaran atau isyarat kecemasan.
Untuk jarak penerbangan dari Kuala Lumpur-Beijing, kata portal berita itu lagi, pesawat berkenaan mempunyai bahan api yang memadai untuk bertahan tujuh jam di udara tanpa mengisi semula.
Tetapi memandangkan ia masih belum ditemui sehingga kini, logik menyatakan yang ia sudah pasti kehabisan bahan api jika tidak mendarat sekarang.
Agensi berita China, Xinhua melaporkan yang pesawat itu disahkan hilang sebelum ia sempat memasuki ruang udara China.
Ia membawa 153 orang penumpang warga China.
Sementara itu portal berita BBC World turut melaporkan tragedi ini sebagai berita utama mereka.
Dengan tajuk 'Contact lost with Malaysia Air plane' BBC turut memaparkan laporan sidang akhbar Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berhubung kejadian itu dan juga laporan wartawan mereka secara langsung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
BBC juga memetik Perdana Menteri China, Li Keqiang sebagai berkata yang beliau telah mengarahkan pihak berkuasa China untuk memulakan prosedur kecemasan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Vietnam dalam usaha mencari dan menyelamat.
Sementara itu koresponden BBC di Beijing, John Sudworth melaporkan yang jadual ketibaan pesawat MH370 itu telahpun dikeluarkan dari senarai papan tanda elektronik Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing selepas ia memaparkan status 'Tergendala' sejak beberapa jam yang lalu.- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive