17 April 2014

Hina kematian Karpal: MCA dakwa otak Zulkifli Noordin ‘penuh sampah'

Hina kematian Karpal: MCA dakwa otak Zulkifli Noordin ‘penuh sampah’
MCA mengecam bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin sebagai tidak mempunyai otak kerana kenyataan tidak munasabah selepas kematian ahli politik veteran DAP, Karpal Singh awal pagi ini.
Dalam kenyataan melalui akaun Twitter @zukiflinoordin beliau dilihat seolah-olah “lega” dengan kematian ahli Parlimen Bukit Jelutong itu kerana pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal.
"Nampaknya Zulkifli Noordin sudah hilang rasional dengan cuba mendapatkan perhatian politik apabila mengeluarkan kenyataan tidak berperikemanusiaan," kata Ketua Biro Publisiti, Datuk Chai Kim Sen dalam satu kenyataan hari ini.
Chai menyifatkan bekas naib presiden Perkasa itu sebagai terlupa sifat asas setiap manusia.
"Zulkifli kelihatan terlupa dengan sifat asas yang diperlukan oleh setiap manusia," katanya.
Zulkifli berkata kematian Karpal akan memudahkan lagi kerajaan Kelantan dalam melaksanakan Hukum Hudud yang selama ini ditentang hebat oleh DAP.
“Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.
"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!” kata Zulkifli.
Chai menegaskan isu politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyakiti orang lain, mendesak Zulkifli yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu supaya bersara daripada politik.
"Amalan dalam politik tidak sepatutnya disalahguna dan menyinggung perasaan orang lain, tambah-tambah jika ia melibatkan kebajikan orang ramai.
"Jika Zulkifli tidak memahami kebenaran ini, atau tidak tahu tentang konsep hormat, beliau boleh bersara daripada politik," kata Chai lagi.
Karpal maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.
Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. –TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive