10 April 2014

MH370: Insiden mengejutkan dunia

  • MH370: Insiden mengejutkan duniaSidang media Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama pasukannya yang diadakan hampir setiap hari sejak tragedi MH370 bermula. Foto: Zulfadhli Zaki
 1 / 2 
TERKEJUT, sedih dan pilu. Itu antara reaksi dan emosi yang jelas terpamer pada raut wajah keluarga 239 individu termasuk 12 anak kapal pesawat MH370 yang terputus hubungan komunikasi selepas 40 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China, 8 Mac lalu.

Lebih sebulan berlalu, misteri kehilangan pesawat MAS itu masih belum terungkai walaupun dilaporkan satu demi satu petunjuk. Ironinya, hingga saat ini, pesawat malang itu, termasuk ratusan nyawa di dalamnya, belum juga ditemui.

Seluruh dunia bingung dan hairan, bagaimana Boeing 777-200ER berukuran 63.7 meter itu gagal dikesan.


Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Lautan Hindi merupakan destinasi terakhir pesawat itu, apa yang pasti, dunia masih berharap semua penumpang MH370 selamat.

Misi mencari (SAR) pesawat MAS itu terus dipertingkatkan hari demi hari walaupun isyarat kotak hitam pesawat mulai lenyap. Jangka hayat bateri kotak hitam pesawat penerbangan MH370 hanya mampu bertahan sehingga 30 hari.

Sehingga ke hari ini, misi SAR belum temui sebarang petanda yang sahih berkaitan dengan pesawat itu. Bermula dari situ, kita mula disajikan dengan pelbagai teori dan spekulasi selain kecaman terhadap Kerajaan Malaysia dan MAS yang bertungkus lumus siang dan malam cuba mencari jawapan di sebalik kejadian ini.

Biarpun insiden itu dianggap tragedi paling buruk dalam sejarah penerbangan dunia, namun terselit sesuatu di sebalik peristiwa tersebut.


Masyarakat celik ilmu penerbangan

Apa pun yang berlaku, suatu hakikat ialah orang ramai yang meskipun terpalit dengan rasa takut dan ragu-ragu untuk menggunakan kapal terbang, sedikit sebanyak mulai peka dan celik ilmu penerbangan.

Daripada langsung tidak tahu mengenai transponder dan juga peralatan lain dalam industri penerbangan, mereka kini didedahkan dengan fungsi drone yang mampu bergerak secara kawalan jauh beberapa kilometer di dasar laut.

Inilah kesan tragedi MH370 yang dalam tempoh sebulan lebih ini, sebarang maklumat dan perkembangan mengenainya begitu menjadi perhatian.

Setiausaha Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, insiden MH370 memberi lembaran baharu buat generasi muda menerokai bidang sains dan teknologi yang agak kurang diminati pada masa kini.

“Banyak istilah-istilah baru didedahkan yang memberi kita pengetahuan tentang penerbangan. Dulu, perkara itu terlalu asing. Insiden ini memotivasikan generasi muda untuk mendalami bidang ini kerana merasakan kita kekurangan pakar,” katanya.


Tingkatkan teknologi, keselamatan

Pencarian MH370 yang lebih mencabar itu membuka mata banyak pihak tentang kepentingan teknologi dan keselamatan negara.

Bukan hanya Malaysia, malah hampir semua negara perlu menyemak semula dan memperbaiki sistem kawalan trafik udara, radar serta teknologi satelit masing-masing.

Dengan kekuatan dan kecanggihan teknologi 26 negara yang menyertai SAR, kenapa pesawat itu masih tidak lagi ditemui? Bagaimana sebuah pesawat yang besar itu boleh hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan setelah lebih sebulan?

Ternyata, asas pengiraan analisis pencarian MH370 yang digunakan ketika ini tidak pernah lagi diguna pakai oleh mana-mana pihak sebelum ini membuka sejarah baru dunia.

Bukan itu sahaja, kerajaan perlu mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di lapangan terbang untuk mengelak insiden kes dua pasport curi yang digunakan warga Iran dalam insiden MH370.


SAR termahal di dunia

Misi SAR untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370 mengejutkan ramai pihak apabila mencatatkan perbelanjaan yang paling mahal dalam sejarah penerbangan dunia.

Hingga kini, kos mencari MH370 memegang rekod paling mahal dengan perbelanjaan mencecah AS$50 juta (RM163.98 juta) melebihi perbelanjaan operasi mencari pesawat Air France AF447.

Operasi pencarian pesawat itu melibatkan kos penyelenggaraan kapal, satelit, pesawat serta kapal selam yang terlibat bermula di Laut China Selatan dan Selat Melaka pada awalnya dan kemudian ke kawasan paling sunyi di dunia iaitu selatan Lautan Hindi, jauh melangkaui kos perbelanjaan mencari Air France 447.

Mengikut laporan media antarabangsa, kos kegunaan kapal HMAS Success milik Australia yang digunakan dua minggu lalu, berjumlah AS$510,400 (RM1.67 juta) sehari.

Kos HMAS Toowoomba pula, berjumlah AS$352,640 (RM1.16 juta) termasuk kos minyak dan kru untuk satu hari.

Bagaimanapun, apabila terdapat penambahan dua kapal dalam misi ini untuk menjalankan misi SAR di Lautan Hindi menyebabkan peningkatkan kos mencecah AS$9.28 juta (RM30.43 juta).

Laporan yang sama turut berkata bahawa pihak Amerika Syarikat (AS) sudah berbelanja sebanyak AS$3.06 juta (RM10.04 juta) untuk kegunaan pesawat dan kapal mereka.

Dalam pada itu, tentera AS turut berbelanja sebanyak AS$3.62 juta (RM11.87 juta) bagi kegunaan ‘Towed Pinger Locator’ (TPL)’ untuk mencari kotak hitam pesawat MH370.

Vietnam pula sudah berbelanja AS$8.07 juta (RM26.47 juta) bagi penggunaan lapan pesawat mereka.

Akhbar berkenaan melaporkan kos lain pula termasuk wang yang diberi oleh Kerajaan Malaysia sebanyak AS$5,000 (RM16,397.50) kepada ahli keluarga penumpang (bukan kru) dan jumlah keseluruhan menjadi US$1.16 juta (RM3.8 juta).

Jumlah boleh mencecah AS$49.18 juta (RM161.29 juta) namun ia hanyalah sebahagian kecil perbelanjaan melibatkan 26 negara.

Jika ditambah dengan kos analisis risikan, polis serta penyiasat kemalangan dari Britain, AS, Perancis, Australia, Malaysia, China dan lain-lain, kos keseluruhan pastinya akan berganda daripada kos yang disebut di atas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive