10 April 2014

MH370: Masih Tiada Serpihan, Pencarian Kotak Hitam Diperhebat


Pic:ReutersPic:ReutersKUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 13 kapal digerakkan hari ini bagi meneruskan usaha pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Maratim Australia (AMSA), semalam beberapa pesawat dan kapal dilaporkan berjaya mengesan sejumlah objek di kawasan pencarian namun hanya sejumlah kecil berjaya dikutip.
Namun dipercayai objek yang dikutip tiada kaitan dengan pesawat MH370.
AMSA hari ini meletakkan sasaran pencarian di kawasan seluas 57,923 kilometer persegi, terletak kira-kira 2280 ke barat laut Perth.
Hujan juga diramalkan turun di sesetengah tempat, dengan jarak penglihatan sekitar 5000 meter ketika hujan.
Selain itu, pencarian dasar laut turut diteruskan dengan kapal Australia Ocean Shield diletakkan di utara dan kapal Hiaxun 01 milik China di bahagian selatan kawasan pencarian.
Baru-baru ini, kapal pertahanan Australia, Ocean Shield mengesan dua isyarat akustik semasa menjalankan pencarian di selatan Lautan Hindi selepas mengesan isyarat yang sama pada Ahad sementara kapal China, Haixun 01, mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu minggu lepas.
Semalam Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata dua lagi isyarat dikesan kapal Ocean Shield.
Beliau berkata isyarat pertama yang dikesan bertahan selama lima minit dan 32 saat manakala isyarat kedua bertahan selama tujuh minit.
Houston juga menegaskan bahawa pasukan pencarian tidak akan mengarahkan penggunaan sebarang kenderaan atau peralatan dasar laut buat masa ini.
Operasi mencari yang disertai pelbagai negara dikerah bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koriror - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand - dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan analisis terbaharu data satelit yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang melalui koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu dilaporkan hilang bahawa Penerbangan MH370 telah "berakhir di selatan Lautan Hindi".

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive