19 April 2014

Terima Kasih Harimau Jelutong

‘Terima kasih harimau Jelutong’ bergema di Dataran Merdeka
"Terima kasih harimau Jelutong"' berkumandang di udara apabila dilaungkan oleh kira-kira 150 yang hadir pada malam memperingati Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.
Meskipun setengah hadirin yang hadir pada malam itu mengakui tidak pernah mengenali atau bercakap dengan ahli politik veteran itu, kehilangan pemimpin hebat itu bagaimanapun amat dirasai.
Bagi Surenjeet Singh, kehadirannya adalah mewakili sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berduka mengenai kehilangan pemimpin tersohor itu.
"Perasaan itu seperti kita kehilangan ahli keluarga kita sendiri, dan ia dirasai oleh semua bahawa beliau merupakan pemimpin hebat.
"Dan paling saya kesal apabila saya tidak sempat untuk mengenali beliau, bagaimanapun kita semua tahu bahawa setiap perkataan yang keluar daripada mulut pemimpin itu menunjukkan keperibadiannya," katanya penuh hiba.
Manakala Fellow Institut Pulau Pinang, Dr Wong Chin Huat yang turut tampil berucap pada program itu juga dilihat tidak dapat menahan sebaknya.
Beliau berkata sepanjang tempoh dua bulan ini, rakyat Malaysia menyaksikan kehilangan tokoh yang juga rakan beliau seperti mendiang Irene Fernandez dan juga penulis blog politik terkenal Bernard Khoo atau lebih dikenali sebagai Zorro.
"Karpal sepanjang hidupnya hinggalah saat terakhir beliau tidak pernah berhenti berjuang, dan saya amat berterima kasih kerana Malaysia mempunyai pemimpin yang hebat.
‎Wong berkata dengan pemergian Karpal yang turut dikenali sebagai 'Harimau Jelutong' itu akan membangkitkan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk meneruskan ‎apa yang diperjuangkan pemimpin itu.
"Sepanjang hayat beliau tidak pernah berhenti untuk memperjuangkan hak asasi untuk mereka yang tertindas .
"Dan paling penting meskipun mendiang sudah tiada, namun‎ kita yang masih ada perlu meneruskan perjuangan beliau, selagi Jelutong ada di dalam peta, maka 'Tiger' tidak akan dilupakan," katanya.
Malam memperingati mendiang Karpal dianjurkan oleh NGO Kill The Bill, iaitu sebuah ‎ gerakan yang ditubuhkan menentang Akta Ketenteraman Awam.
Ahli jawatankuasa, Phang Sce Hwal berkata agenda pada malam itu sebenarnya ‎merupakan perancangan saat akhir.
Selain acara menyalakan lilin, sehelai kain rentang putih untuk hadirin menulis mesej memperingati mendiang turut disediakan.
"‎Marilah kita berdoa mengikut agama masing-masing kita yang hadir di sini dalam tempoh yang singkat atas rasa sayang kita kepada mendiang untuk menghargai sumbangan beliau kepada negara," kata Phang.
Turut kelihatan hadir pada malam itu ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Andrew Khoo‎.
"Karpal adalah hero negara, dan kita akan sentiasa mengingati ketegasan dan kelantangan beliau, terutamanya ketika di Parlimen.
"Saat beliau membaling pensil di Parlimen akan terus berada di ingatan, dan mendiang semasa hidupnya bergelut dengan terlalu banyak cabaran dan terbaru lagi, kes hasutannya.
"Beliau sentiasa berjuang dalam hidupnya demi masyarakat mewakili rakyat yang tidak mempunyai suara, itulah Karpal," kata Andrew.
Karpal, 73, terbunuh dalam kemalangan kereta malam semalam kira-kira jam 1 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak apabila Toyota Alphard beliau bertembung dengan sebuah lori.
Pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius Selvam Vellu, turut meninggal dunia dalam kemalangan itu, manakala anaknya Ramkarpal dan pemandu terselamat dengan kecederaan kecil.
Sejak semalam, ribuan orang melawat rumahnya di Pulau Pinang untuk memberi penghormatan terakhir kepada orang yang dianggap oleh banyak pihak sebagai salah seorang daripada ahli politik terbaik di negara ini. –TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive