24 May 2014

Dua warga emas berbasikal ke Makkah boleh mohon jadi jemaah haji

MAY 23, 2014
Dua pengembara warga emas yang sedang melakukan ekspedisi berbasikal dari Malaysia ke Makkah boleh membuat permohonan untuk menjadi jemaah haji tahun ini kepada pihak Tabung Haji bagi dipertimbangkan.
Abd Karim Salleh, 64, bekas anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan pesara guru Ramli Yusoff, 63, dari Semenyih, Selangor kini berada di India selepas memulakan kayuhan dua bulan lepas.
Mereka memulakan kayuhan ke Makkah dua bulan lalu dari Semenyih dan diberikan sambutan pelepasan di Kompleks Imigresen Pengkalan Hulu untuk ke Thailand oleh Persatuan Veteran Komando ATM Malaysia pada 11 April lalu.
Kedua-dua warga emas itu berhasrat untuk menunaikan umrah.
Mengulas mengenai dua warga emas itu, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim (gambar) berkata kedua-dua warga emas itu boleh dianggap sebagai wira negara yang sanggup menggalas cabaran begitu besar.
Katanya mereka sanggup melakukan ibadah umrah di bulan Ramadan dengan hanya berbasikal ke Makkah dan kerana itu mereka wajar dipertimbangkan untuk menjadi jemaah haji tahun ini.
Abd Azeez, yang juga ahli Parlimen Baling, berharap ada permohonan kepada beliau selaku Pengerusi Tabung Haji untuk dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk dipertimbangkan.
"Berikan saya satu permohonan mengenai hasrat kedua wira itu dan saya akan membawanya untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji yang akan diadakan tidak lama lagi. Permohonan boleh dibuat oleh pihak waris kedua mereka atau pihak Persatuan Veteran Komando ATM Malaysia," katanya.
Abd Azeez berkata demikian selepas melawat dua keluarga mangsa kebakaran Madrasah Al Zuhdiah, Kampung Carok Salang, Parit Panjang, Baling hari ini.
Dalam kebakaran itu, dua rumah yang didiami ibu tunggal dua anak dan seorang warga emas hangus sama sekali.
Abd Azeez berkata pihaknya meluluskan bantuan sebanyak RM60,000 untuk membina kembali dua rumah yang musnah bagi menempatkan kembali kedua-dua keluarga itu. – Bernama, 23 Mei, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive