18 May 2014

Nasihat Karpal, krisis Terengganu dan politik biskut





Oleh Suhaizan Kaiat

“Truly there are no permanent friends nor enemies in politics. But there must be permanent principles” – Karpal Singh (1940-2014).


Situasi Politik Terengganu baru-baru ini mencuri perhatian seluruh warga tanah air khususnya bagi mereka yang cakna dan mengikuti perkembangan politik semasa.Apa tidaknya, dalam “kemeriahan” warga Malaysia membincangkan isu hudud yang dilemparkan kerajaan pusat dan disambut oleh kerajaan negeri Kelantan, datang isu pertukaran menteri besar Terengganu disulami gimik “selamat tinggal Umno” para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka.


Ia barangkali suatu rutin politik. Muncul momentum Kajang Move yang disifatkan langkah “check-mate” oleh PKR dan Pakatan Rakyat, dileyapkan dengan keputusan bersalah Anwar Ibrahim dalam isu liwat 2 oleh Mahkamah Rayuan. Ia tidak terhenti di situ.

Gelombang Reformasi 2.0 pula cuba digembleng namun dilenyapkan pula oleh isu kehilangan pesawat MH370. Teori demi teori diketengahkan berhubung kehilangan misteri pesawat ini namun ia menjadi suram semula dengan kedatangan isu perlaksanaan hudud di Kelantan. Kini, orang sudah mula juga diam dengan hudud lantaran berkocaknya politik kerajaan negeri Terengganu!
Rakyat dikejutkan dengan perletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu pada 12 Mei 2014 diikuti pengumuman beliau keluar Umno pada keesokan harinya bersama-sama Adun Ajil Ghazali Taib.

Keadaan bertambah buruk buat Umno apabila Adun Bukit Besi Roslee Daud pula membuat pengumuman keluar Umno pada hari yang sama. Kerusi DUN Terengganu ketika itu menjadi kritikal dengan 14 BN, 14 PAS, 1 PKR dan 3 Bebas.

Maka, pelbagai teori muncul lagi. Dari para politikus elit, penganalisis, pakar perundangan sehinggalah pengulas politik “kedai kopi” mulalah membuat jangkaan terhadap implikasi-implikasi dan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku dalam krisis politik melibatkan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu ini.

Keadaan bertambah haru dengan khabar angin yang berlegar-legar di ruangan media maya termasuklah menerusi Twitter dan Whatsapp yang begitu pantas menyebarkan berita kemungkinan beberapa lagi Adun Umno Terengganu bakal mengikuti jejak langkah bekas menteri besar.

Bagi PAS, inilah antara saat paling genting – apakah bakal berlaku perubahan tampok parti pemerintah bagi negeri Terengganu?

Tidak sampai 48 jam dari saat perletakan jawatan dibuat, Roslee Daud menarik balik tindakannya keluar parti.

Beliau mendakwa dirinya terkejut dengan isu pertukaran MB lantas secara spontan atau tidak sengaja bertindak keluar parti. Ini semacam rumah tangga yang berhadapan krisis lantas si suami melafazkan talak satu. Namun kini sudah kembali rujuk!

Bahkan pada 14 Mei 2014 pula, Ahmad Said dan Ghazali Taib juga melakukan “U-turn”.

Terkejut? Bagi saya ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Seni dalam politik memungkinkan seribu satu kemungkinan hatta yang diluar jangkaan.

Bahkan seawal pengumuman keluar Umno oleh bekas menteri besar dan dua orang Adun pun, saya sudah menjangkakan politik Umno tidak semudah 1, 2, 3.

Bak status yang dinaikkan oleh seorang pengguna Facebook, “Aku beri amaran kepada mana-mana YB DUN Terengganu yang berhasrat untuk lompat parti terutama Datuk Seri Ahmad Said.

Sila teruskan dan aku akan dedahkan video dan gambar-gambar salah laku politik wang melibatkan Datuk Seri Ahmad Said serta orang-orang besar parti!”.

Pada hemat saya, bukan mudah bagi Umno/BN untuk mengambil risiko apatah lagi dalam memastikan matlamat pengekalan kuasa mereka di peringkat negeri dan persekutuan terus dikecapi.

Sesetengah rakan sinis dan berseloroh, “Adun Bukit Besi kali pertama terkejut dengan isu pertukaran MB Terengganu lantas buat keputusan keluar Umno.

Kali kedua beliau terkejut dengan tawaran berbilion ringgit dan projek yang ditawarkan oleh Najib lantas kembali masuk Umno!” Saya hanya tersenyum.

Kelmarin, badan pemantau pilihanraya Bersih 2.0 mengeluarkan kenyataan media berhubung komitmen mereka untuk mengumpulkan maklumat kemungkinan berlaku tipu helah melibatkan usaha untuk membeli atau menjual hubungan politik dengan keuntungan kewangan terutamanya melibatkan dana awam atau kemudahan lain dalam kemelut politik mutakhir di Terengganu.

Keadaan ini mengingatkan saya sejarah Pilihan Raya Umum 2004 apabila Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terpaksa menangani risiko para Adun PAS yang berkemungkinan berhadapan habuan lumayan daripada pihak lawan dalam usaha menggagalkan kerajaan PAS di negeri Che Siti Wan Kembang itu apabila keputusan kedudukan DUN menjadi 22 Umno, 23 PAS sejurus kekalahan calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir.

Jujurnya, kemelut politik Umno Terengganu kini membuatkan saya tersenyum sendiri sambil mengimbau kembali kepada iklan biskut Chipsmore yang lazim tersiar di kaca-kaca televisyen satu masa dahulu.

Bagi para politikus berjawatan Adun, Ahli Parlimen atau pemimpin dan aktivis di posisi mana sekalipun kita berada, berpeganglah kepada prinsip perjuangan yang luhur untuk membela rakyat. Prinsip yang mampu menjadi benteng ampuh dari bahana sindrom “sekejap ada, sekejap tiada!”.

* Penulis adalah ketua Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive