23 May 2014

PRK Teluk Intan : Berjaya tambat hati Melayu, peluang cerah Dyana menang


MAY 23, 2014
Keputusan DAP mencalonkan setiausaha politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud yang juga merupakan graduan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan dilihat sebagai langkah strategik bagi meraih undi orang Melayu di Parlimen berkenaan.
Ia sekali gus diharap dapat mengembalikan kepercayaan orang Melayu dan mengubah persepsi negatif mereka terhadap parti berkenaan.
Persoalannya, mampukah strategi ini berjaya pada PRK Teluk Intan nanti?
Jika statistik Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijadikan ukuran, maka DAP khususnya Dyana perlu bekerja keras bagi menambat hati orang Melayu yang merupakan majoriti kaum kedua terbesar di Teluk Intan.
Parlimen Teluk Intan mempunyai seramai 60,439 orang pengundi berdaftar dengan 42% orang Cina, 38% orang Melayu dan 19% orang India.
Menariknya, pada PRU13 lalu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang juga merupakan calon BN pada PRK kali memperoleh 74% undi Melayu, 15% undi Cina dan 50% undi India meskipun BN kalah kepada calon DAP, Seah Leong Peng dengan majorit 7,313 undi.
74% undi Melayu kepada BN menggambarkan betapa orang Melayu secara terbuka menolak kepimpinan DAP di Parlimen Teluk Intan pada PRU13. Tambahan pula, jika diteliti secara dekat, kebanyakan undi untuk BN datang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong yang penduduknya 64% orang Melayu dengan majoriti 1,118 undi sementara kebanyakan undi untuk DAP datang dari DUN Pasir Bedamar yang penduduknya 69% orang Cina dengan majoriti besar 13, 037 undi.
Parlimen Teluk Intan mempunyai dua DUN di bawahnya iaitu Pasir Bedamar dan Changkat Jong.
Mampukah Dyana mengubah pendirian 74% undi orang Melayu yang menyokong Mah daripada parti Gerakan pada PRU13 yang lalu dan meyakinkan mereka untuk mengundi beliau selaku calon Melayu daripada parti DAP pada PRK kali ini?
Dilema orang Melayu Ini merupakan situasi yang jarang berlaku dalam pilihan raya di Malaysia apabila calon Melayu parti majoriti Cina seperti DAP akan bersaing dengan calon bukan Melayu parti komponen BN dan semestinya situasi ini menyebabkan orang Melayu berada dalam keadaan dilema terutamanya bagi golongan pengundi atas pagar.
Untuk rekod hanya dua ahli Parlimen DAP yang berbangsa Melayu iaitu di Bukit Bendera, Zairil Khir  Johari dan di Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz. Mereka menang pada PRU13 yang lalu dengan menewaskan calon bukan Melayu.
Situasi di Teluk Intan kali ini persis seperti di Bukit Bendera di mana calon Melayu DAP menentang calon bukan Melayu Gerakan dan majoriti penduduknya adalah kaum Cina. Mampukah skrip Bukit Bendera berulang kembali di Teluk Intan? Sama-sama kita nantikan 31 Mei ini.
Apa yang penting ialah Dyana perlu berusaha menambat hati orang Melayu di Teluk Intan dan mengembalikan kepercayaan mereka kepada beliau. Jika perkara ini berjaya dilakukan, maka peluang cerah untuk Dyana Sofya menang pada PRK ini dan seterusnya membolehkan beliau menjadi ahli Parlimen termuda dan ahli DAP wanita berbangsa Melayu pertama dalam sejarah Malaysia. – 23 Mei, 2014 -  – Hamri Ibrahim

1 comment:

ramli said...

Perkara DAP meletakkan calon Melayu di Teluk Intan bukanlah asing ...kerana suatu ketika dahulu DUN Pasir Bedamar pernah berwakilkan DAP Melayu ...iaitu Fadzlan Yahya ....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive