23 June 2014

Ada tiga lagi skandal Umno akan saya dedahkan – Rafizi

Oleh: Nazar Hashim)


TANJONG TOKONG 22 JUN: Selepas isu pemberian konsesi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada kroni Umno didedahkan, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli  akan mendedahkan tiga lagi skandal membabitkan pimpinan parti itu.
Rafizi
Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berbisik sesuatu kepada Rafizi ketika majlis makan malam bagi kutipan dana untuk KEADILAN Pulau Pinang, malam tadi.
“Selepas mendapat bukti dan isyarat, saya akan dedahkan tiga lagi skandal melibatkan korupsi pimpinan mereka dalam masa terdekat,” ujarnya pada majlis makan malam KEADILAN di Straits Quay Convention Centre di sini, semalam.
Menurutnya, pendedahan mengenai projek penswastaan kampus UiTM adalah bukti ketara bagaimana pemimpin Umno mengkhianati orang Melayu dengan memberikan projek tersebut kepada suku sakat dan kroni mereka.
“Jika kerajaan tidak ditukar dalam pilihan raya yang akan datang, banyak lagi pengagihan kekayaan negara secara tidak telus akan dibolot oleh kroni-kroni mereka secara melampau,” ujarnya.
“Umno seolah-olah mempertahankan bangsa Melayu, sebaliknya Umno lah yang memperbodohkan orang Melayu di kampung dan pedalaman,” katanya.
Justeru  Rafizi berkata, KEADILAN akan mengatur program turun padang ke seluruh negara bagi mendedahkan pembohongan Umno, terutama kepada penduduk luar bandar berkaitan isu berkenaan.
Rafizi sebelum ini mendedahkan kerajaan memberikan konsesi selama 23 tahun kepada syarikat kroni untuk membina enam kampus cawangan UiTM seluruh negara. Bagaimanapun, UiTM perlu membayar semula sewa kepada syarikat berkenaan antara RM56 juta sehingga RM69 juta setahun.
Jumlah keseluruhannya bayaran tersebut adalah sebanyak RM8.6 bilion iaitu lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.
Antara individu yang mendapat konsesi berkenaan adalah adik kepada bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi pembinaan kampus UiTM cawangan Seremban III dan Ketua pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Rozali Ismail yang diberi konsesi UiTM Puncak Alam.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden, Azmin Ali, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, barisan exco kerajaan negeri serta pimpinan PAS dan DAP Pulau Pinang.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=61967

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive