23 June 2014

Surat terbuka kepada Datin Seri Rosmah Mansor

Saya terpanggil untuk menulis sepucuk surat buat mama selepas membaca khabar berkenaan ucapan mama di Majlis Anugerah Nadi Negara 2013 Wanita Umno di ibu negara semalam menyentuh berkenaan mahasiswa. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih buat mama, atas keperihatinan berkenaan anak-anak mama sendiri iaitu mahasiswa sendiri.
Memetik ucapan semalam, pandangan mama kepada anak-anaknya dan menasihatkan golongan mahasiswa supaya memproses maklumat yang diperoleh di alam maya dengan bijak dan tidak hanya mempercayainya tanpa membuat semakan dan kajian, dalam pelajaran di universiti, mahasiswa dididik untuk berfikir secara kritis dan rasional selain tidak hanya menggunakan pemikiran logik tetapi membuat semakan untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat.
Selain itu, mama ada juga mengemukakan harapan kepada mahasiswa iaitu berharap kaedah tersebut tidak hanya digunakan di peringkat universiti saja tetapi diaplikasikan dalam proses pencarian ilmu di  Internet mahupun ketika membaca bahan di media sosial serta laman web.
“Jika bertindak melulu dan membantu menabur fitnah merata-rata, harus ingat perbuatan tersebut akan membinasakan masa depan anda sendiri dan memperjudikan negara kita kelak," katanya.
Tambah mama lagi, masyarakat tidak boleh menyalahkan segelintir kecil mahasiswa yang bertindak mengikut perasaan dan secara terburu-buru tanpa memahami keadaan sebenar. Ini mungkin kerana mereka (mahasiswa) tidak mendapat gambaran sebenar mengenai usaha dan peranan kerajaan dalam membangunkan negara.
Dalam ucapan tersebut juga mama menyentuh berkenaan GST di mana beliau menasihatkan mahasiswa supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pembangkang mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Saya dengar golongan pelajar kini tidak membaca surat khabar (arus perdana) kerana mendakwa surat khabar berat sebelah. Bacalah, Kita kena tahu benda yang betul (melalui media arus perdana),” katanya.
Di sini saya mengambil peluang untuk respon berkenaan ucapan mama memandangkan masih belum ada mahasiswa respon berkenaan ucapan mama. Di sini beberapa perkara yang saya mahu kemukakan:
1. Mama perlu menjadi wanita/mama untuk semua mahasiswa, semua masyarakat Malaysia tidak kira agama dan bangsa di Malaysia
Saya sedikit terkilan, mama hanya berperanan sebagai wanita Umno/BN sahaja, sepatutnya mama perlu berusaha untuk menjadi wanita Malaysia yang melambangkan wanita pertama Malaysia di mata dunia, sentiasa bersikap adil kepada semua rakyat serta mahasiswa.
Perkara ini termasuk menjaga identiti sebagai wanita islam pertama Malaysia, menutup aurat, menjadi idola semua wanita islam di mata dunia. Tidak perlu menjadi seorang ustazah, tetapi cukup sekadar menjaga baik nama Islam di mata masyarakat lain. Saya mengambil contoh mudah, iaitu berkenaan majlis semalam, majlis ini hanya meraikan wanita Umno/BN serta mahasiswa yang pro kepada kerajaan sahaja.
Untuk pengetahuan mama, saya adalah yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya, merangkap presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional(MPMN), persoalannya kenapa saya tidak dijemput ke majlis semalam? Sedangkan mama pun tahu Universiti Malaya merupakan universiti terbaik di Malaysia, sedangkan rakan YDP kampus lain seperti kampus USM, UPMN serta UiTM dijemput, jika dilihat kampus seperi USM, UITM dan UPMN jauh ketinggalan di belakangan UM.
Bukan mempersoalkan berkenaan status ranking, tetapi jelas di situ sesetengah kami ini dipinggirkan. Tidak dinafikan, mama banyak berusaha melakukan yang terbaik dalam menjadi wanita pertama Malaysia dengan melakukan pelbagai aktiviti, antaranya ialah program Permata. Usaha itu saya sangat hargai, buanglah sentimen parti, terus berusaha membawa negara ke arah yang lebih baik, kurangkan sumbangan kepada kroni, tetapi lebih kepada rakyat Malaysia. Mahasiswa semakin bijak menilai.
2. Mahasiswa sentiasa bijak menilai
Buat pengetauhan mama sendiri, mahasiswa di Malaysia semakin bijak menilai sesuatu isu dan maklumat disalurkan. Apatah lagi mahasiswa di luar negara. Tidak dinafikan masih ada mahasiswa yang hanya menilai menerusi satu sumber sahaja, tetapi hakikatnya jumlah ini kecil berbanding mahasiswa yang menilai maklumat sebaik mungkin.
Mama tidak boleh menyalahkan media masa yang sedia ada seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, Free Malaysian Today, Rakyat Post dan sebagainya. Media ini berperanan untuk mencari rating mereka dalam menyiarkan berita, oleh itu berita ini sentiasa mencari tajuk yang kontroversi dan hangat. Berbeza pula media masa pihak pembangkang iaitu Harakah Daily, Selangorku dan Keadilan Daily, media ini adalah lidah rasmi pembangkang.
Tetapi media kerajaan perlu menjadi media kepada masyarakat Malaysia bukanya menjadi lidah rasmi sesetengah parti, umpamanya TV3,TV2,TV1, Utusan Melayu, Berita Harian dan lain-lain. Barulah mahasiswa sentiasa bersama media arus perdana, jika peranan media kerajaan menjadi lidah rasmi sesetengah parti politik sehinggakan boleh digelarkan TV3 suku, Utusan Meloya serta Berita Hairan, bagaimana kami hendak bersama media arus perdana, buka saja TV3 hanya berita berkenaan Umno/BN serta mencari kesalahan dan aib negeri Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, seolah-olah Malaysia hanya menpunyai 3 negeri ini sahaja.
Jika sebaiknya Umno/BN ini menpunyai lidah rasmi sendiri mereka sendiri, dan bebaskan TV3 suku, Utusan Meloya dan Berita Hairan ini. Kesian saya melihatnya yang sentiasa menjadi mangsa sesetengah pihak. Untuk pengetahuan mama, saya sendiri membelek media yang ada setiap hari dari Utusan Meloya, Berita Hairan, Harian Metro, Malaysiakini, Bernama,Keadilan Daily dan banyak lagi untuk membandingkan sesuatau maklumat yang disampaikan.
Jika dahulu sering ditipu dengan propaganda berita TV3 suku, Utusan Meloya dan Berita Hairan. Kini sumber internet semakin meluas malah kini anak muda mesra dengan internet, sukar untuk kami tertipu lagi, "Mr Google" sentiasa bersama dalam merungkai masalah penipuan ini. Saya sendiri memuji usaha mama yang mempergiatkan program Permata yang sering disiarkan dalam media kerajaan. Bagi saya secara peribadi, program Permata ini sangat memberi kesan yang positif kepada anak kecil dan saya menyokong 100% program ini demi kebaikan bersama. Lihat? Jika perkara itu baik, kami mahasiswa akan menyokong.
3. GST dan pembangkang
Tidak dinafikan GST menpunyai pro dan kontranya. Secara peribadi, saya hadir seminar dan perbincangan meja bulat yang diadakan kerajaan sendiri. Malah, saya membuat penelitian fakta dan hujah yang diberikan oleh pembangkang berkenaan GST.
Selain itu, beberapa buku saya baca berkenaan GST ini, antaranya karya Dr Choong Kwai Fatt yang merupakan pakar cukai yang unggul dan terkenal di Malaysia. Beliau juga dikenali dalam penyelidikan dan pengarangan buku. Buku percukaian dan jurnal yang dikarangnya digunakan kebanyakan universiti, badan profesional dan akauntan.
Secara peribadinya impak GST ini banyak memberi kesan positif berbanding negatif. Tetapi apa yang membuat saya khuatir ialah, hasil pungutan GST itu akan dibawa ke mana? Ke kroni? atau rakyat? Saya sudah serik mengenai kisah ‘kondominium’, ‘ mantan menteri besar Selangor’ dan sebagainya.
Oleh itu, saya bantah GST bukannya melulu membantah mengikut pembangkang. Mahasiswa ini bukan macai pembangkang. Mereka menpunyai idea sendiri dan sering lain daripada lain bagi memastikan negera ini aman dari kepentingan mana-mana pihak.
Kesimpulannya, secara peribadinya, tujuan saya untuk menyatakan pendapat ini kepada mama bukan untuk menjatuhkan imej mama ataupun ada unsur negatif. Tetapi pendapat ini merupakan teguran kasih sayang sebagai rakyat Malaysia dan mahasiswa kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggap mama.
Ketepikan kepentingan peribadi atau sesetengah pihak saja, perbaiki kelemahan yang ada demi kesejahteraan Malaysia yang tercinta setimpal dengan situasi negara kita sekarang. Saya yakin Malaysia mampu jauh ke depan jika mempunyai pemimpin yang berwibawa, telus, dan bersih. – 23 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/surat-terbuka-kepada-datin-seri-rosmah-mansor-fahmi-zainol?utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed#sthash.ixOESXxs.dpuf

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive