23 June 2014

Kedudukan Khalid tak tergugat

KHALID_IBRAHIM Penganalisis politik meramalkan masa depan Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor masih ada selagi mendapat sokongan daripada istana, Adun dan rakyat negeri ini.
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat,  ia tiada kaitan sama ada Abdul Khalid tumpas atau menang dalam Pemilihan PKR untuk merebut posisi Timbalan Presiden parti itu.
“Masa depan beliau sebagai teraju Selangor tidak akan tergugat jika istana, Adun dan rakyat masih mahukannya di posisi berkenaan.
“Kalah atau menang dalam pemilihan PKR bukanlah isu untuk beliau berundur, lagi pun Abdul Khalid pernah suarakan hasratnya untuk berkhidmat satu penggal sahaja lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Mohd Azizuddin turut menyatakan kebarangkalian lain iaitu sekiranya mengikut undang-undang, seseorang menteri besar yang tidak lagi mendapat sokongan Dun, rela atau tidak beliau harus berundur.
“Tapi kalau dalam pemilihan kali ini, ahli PKR sepakat tolak dia namun Dun masih mahukan beliau posisi itu kekal. Lainlah jika majoriti Dun tidak mahukan dia, cara terbaik beliau perlu berundur secara terhormat atau mereka usulkan undi tidak percaya dan terpulang kepada kepimpinan dewan.
“Tidak dinafikan Abdul Khalid berdepan tekanan yang kuat daripada rakan PR tapi bukanlah semua tidak setuju dengan cara pentadbiran beliau,” katanya.
Umum maklum terkini bertiup kencang desas desus daripada beberapa Ahli Parlimen PR misalnya Khalid Samad dan Gobind Singh Deo termasuk juga Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Jaafar Sulaiman yang mengkritik dan menyalahkan Abdul Khalid dengan mensabitkan pelbagai isu yang berlaku di Selangor kini berpunca daripada kelemahan pimpinan beliau yang membelakangkan parti dalam Pakatan.
Bagaimanapun Mohd Azizuddin berkata, Abdul Khalid tidak perlu khuatir kerana kritikan hebat itu datangnya daripada Ahli Parlimen sahaja bukannya Adun kerana masih ramai lagi rakan di dalam Dun mendukung cara pentadbiran beliau.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor hanya akan diputuskan setelah mendapat persetujuan ketiga-tiga pemimpin parti daripada Pakatan Rakyat (PR).
Ketua pembangkang itu berkata, keputusan untuk mengekalkan atau membuat perubahan perlu dibuat secara bersama sebelum membawa perkara itu untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.
Terdahulu Jaafar menyifatkan, pelbagai isu yang berlaku di Selangor kini berpunca daripada kelemahan pimpinan Abdul Khalid yang membelakangkan parti lain dalam Pakatan.
Bahkan Ahli Parlimen Pas Khalid Samad pula berkata, memandangkan keputusan sudah dibuat, Abdul Khalid perlu ditukar dengan pemimpin lain yang diterima oleh semua parti.
“Saya tidak nampak bagaimana seorang menteri besar boleh kekal jika partinya sendiri menolak beliau,” katanya.
Ahli Parlimen DAP, Gobind Singh Deo juga sebelum ini pernah mengkritik pentadbiran Abdul Khalid termasuk isu pembinaan Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex).
Namun, desakan dan tekanan itu tidak diambil berat oleh Abdul Khalid yang menganggapnya sebagai satu perkara biasa dalam dunia politik. SH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive