17 June 2014

Adik Shahrizat dengan syarikat RM2 dapat konsesi bina UiTM Seremban III - Rafizi



SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat hanya bermodalkan RM2 diberikan pegangan saham sehingga 29 peratus di dalam satu konsesi pembinaan kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) yang bernilai RM1.5 billion.

Tentu Selesa Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat dengan saham terbitan hanya RM2 dikuasai oleh dua tokoh yang rapat dengan Umno.

Menurut Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, semakan SSM menunjukkan bahawa pengarah-pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah Datuk Shahrir Abdul Jalil dan Datuk Aidit Ghazali.

Semakan lanjut menunjukkan Shahrir adalah adik kepada Ketua Wanita Umno Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Beliau pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai yang kemudian digantung selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno pada tahun 2005 kerana didapati bersalah dengan amalan politik wang.

Katanya, Shahrir adalah pengarah kepada pemegang konsesi Inovatif Mewah Sdn Bhd yang mendapat konsesi penswastaan 23 tahun termasuk pembinaan, operasi dan penyelenggaran UiTM di Seremban III.

Tambah Rafizi, seorang lagi pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah Datuk Aidit merupakan Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) sebuah NGO sayap kanan yang ditubuhkan oleh Datuk Hassan Ali selepas dipecat daripada PAS.

"Susun atur pemegang konsesi penswastaan UiTM ini menunjukkan bagaimana kroni kapitalisme digunakan di Malaysia untuk mengkayakan ahli-ahli politik yang rapat dengan Umno,"katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Jelas Rafizi model ini diguna pakai di dalam beberapa konsesi yang lain iaitu tokoh-tokoh Umno menjadi pemegang saham minoriti dan syarikat yang membina memegang saham selebihnya.

"Ia membayangkan seolah-olah syarikat yang dikawal oleh ahli politik mendapat pegangan kerana membuka ruang atau kabel politik untuk dianugerahkan satu konsesi lumayan sedangkan syarikat pembinaan menjalankan kerja-kerja pembinaan sebenar,"katanya.

Jawapan Perdana Menteri pada 10 April 2014 menunjukkan bahawa konsesi selama 23 tahun yang dianggarkan mencecah RM1.5 billion sepanjang tempoh konsesi ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Inovatif Mewah Sdn bhd.

Tiga syarikat mempunyai pegangan saham di dalam  Inovatif Mewah iaitu Menang Development Sdn Bhd (51%), Menang Industri Sdn Bhd (20%) termasuk Tentu Selesa Sdn Bhd (29%).

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive