21 June 2014

Hanya Hadi menjadi halangan penukaran Khalid, kata sumber Pakatan

OLEH ANISAH SHUKRY

Walaupun ramai pihak yang ingin menyingkirkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau masih selesa dalam kerusinya kerana hubungan baiknya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2014.
Walaupun ramai pihak yang ingin menyingkirkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau masih selesa dalam kerusinya kerana hubungan baiknya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2014

Walaupun sudah hampir setengah tahun sejak PKR memulakan pilihan raya kecil Kajang untuk mengeluarkan Tan Sri Khalid Ibrahim, namun Menteri Besar Selangor itu masih selesa di kerusinya hanya kerana satu perkara, iaitu hubungan baiknya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata sumber Pakatan Rakyat (PR).
Walaupun PKR dan DAP terus menekan Khalid, sumber itu memberitahu The Malaysian Insider, Langkah Kajang itu tidak pergi ke mana-mana kerana Hadi sehingga kini masih tidak menyokong usaha untuk mengenepikan Khalid daripada kerusi tertinggi dalam negeri terkaya itu.
Mereka berkata, sejak berbulan PKR dan DAP membincangkan di kalangan mereka bagaimana mahu menggantikan Khalid dengan Presiden PKR yang juga Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun tidak disokong Hadi
Bahkan para pemimpin tertinggi PR bertemu Hadi untuk membincangkan usaha menukar Khalid, tetapi pemimpin PAS itu menolak usaha itu, kata sumber PKR.
"Kami memberi semua bukti: kami beritahu beliau tentang lebuhraya Kidex, tentang rampasan Bible, kami memberi amaran PR boleh kalah di Selangor jika Khalid kekal sebagai menteri besar, tetapi beliau enggan mendengarnya.
"Hadi sangat menyokong Khalid, dan dalam PAS segala kata Hadi dipatuhi," kata pemimpin kanan PKR itu.
Pemimpin PKR itu berkata, Hadi diikat oleh Khalid melalui menantunya, Zaharudin Muhammad, yang dilantik sebagai pengurus kepada unit hal ehwal Islam dalam Perangsang Selangor, anak syarikat pelaburan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Khalid juga melantik Raja Idris Kamarudin, salah seorang yang rapat dengan Hadi, sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) KDEB, kata sumber itu.
"Sesiapa yang mengawal KDEB dan Kumpulan Perangsang, akan mengawal sumber kewangan di Selangor.
"Raja Idris juga adalah sepupu kepada Sultan, jadi dengan beliau bersamanya,  Khalid mempunyai kedua-dua istana dan PAS."
Sumber juga menambah bahawa Khalid menggunakan Raja Idris untuk mendedahkan maklumat – termasuk gerakan untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar Selangor – kepada abang Raja Idris, iaitu blogger popular Raja Petra Kamarudin.
Menurut sumber itu, Raja Idris mempunyai hubungan yang rapat dengan Hadi sejak Hadi menjadi menteri besar Terengganu lagi apabila Raja Idris dilantik sebagai orang penting dalam Amanah Saham Gemilang (ASG) dan CEO kepada TDM Berhad, anak syaraikat kerajaan negeri Terengganu yang paling besar.
Sumber itu juga berkata, golongan ulama dalam PAS juga lebih condong kepada Khalid.
"Banyak bajet negeri juga diberikan kepada Exco dari PAS; RM8 atau 9 juta diberikan untuk latihan yang terletak di bawah Exco Pendidikan, dan PAS bebas menggunakan dana itu sebagaimana mereka mahu," kata sumber itu.
Walaupun kumpulan Erdogan dalam PAS tidak senang dengan Khalid, mereka terpaksa mengikut kehendak Hadi dan kumpulan ulama, kata sumber PKR itu.
The Malaysian Insider juga difahamkan, semasa retreat DAP baru-baru ini, isu mengeluarkan Khalid menjadi topik hangat, di mana para pemimpin DAP berpendirian dia perlu ditukar segera.
"DAP bimbang kita mungkin kehilangan Selangor jika Khalid terus bersikap begini," kata pemimpin DAP kepada The Malaysian Insider, tanpa mahu namanya dinyatakan.
Katanya, sehingga kini, PAS menentang usaha ini tetapi mereka boleh mempertimbangkannya jika diberikan kerusi timbalan menteri besar sebagai jalan kompromi.
Sementara itu, langkah terakhir yang boleh dibuat oleh PKR dan DAP Selangor yang mahukan Khalid ditukar – termasuk kumpulan Adun Erdogan dalam PAS – adalah dengan cara membuat undi tidak percaya, kata sumber DAP dan PKR itu.
Tetapi ia boleh memberikan kesan negatif kepada PR, kerana PAS boleh meninggalkan pakatan itu begitu sahaja, katanya.
Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan Khalid memohon agar DUN dibubarkan dan memanggil satu pilihan raya baru di negeri itu.
Tetapi tanpa keputusan bersama ketiga-tiga parti, Khalid akan terus kekal sebagai menteri besar dan terus membuat keputusan tidak popular dan tanpa sokongan daripada rakan-rakannya dalam PR, dan akan menyusahkan PR dan penguasaannya di Selangor. – 21 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hanya-hadi-menjadi-halangan-penukaran-khalid-kata-sumber-pakatan#sthash.265DlJT3.dpuf

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive