07 June 2014

Jimmy Shanley Sah Bernikah Dengan Sekali Lafaz



Diterbitkan: Sabtu, 7 Jun 2014 6:26 PM


Jimmy Shanley (kiri) sah bergelar suami kepada Mariam Jamilah dengan hanya sekali lafaz.

SHAH ALAM: Hanya dengan sekali lafaz, pengacara dan penyampai radio Jimmy Shanley akhirnya bergelar suami kepada Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Concorde, di sini pada Sabtu.

Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Abdul Jalil Othman, kira-kira pukul 6.20 petang.
Ia turut disaksikan oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Rujuk dan Wali Raja Negeri Selangor , Nurul Hisham.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, memberikan mas kahwin sebanyak RM1,000 manakala wang hantaran RM 15,000.

Rombongan lelaki turut membawa lima  dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah sirih junjung, sebentuk cincin dan mas kahwin, telefon dan kaca mata, tas tangan serta wangian.

Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula ialah sirih junjung, jubah, set pakaian, kasut, jam tangan, set minyak wangi, coklat dan buah-buahan.

Dalam pada itu, Jimmy turut menitiskan air mata dan menangis ketika membacakan lafaz taklik di hadapan bapa pengantin perempuan selepas sah bergelar suami.
Pada majlis tersebut pasangan pengantin menggayakan pakaian berwarna putih daripada butik Citra, manakala solekan daripada jurumekap Siti Saleha.
Majlis turut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam Sabtu (malam ini) di lokasi yang sama di sini dengan tema warna ungu dan hijau.

Perkahwinan ini merupakan yang kedua buat Jimmy, manakala pertama buat isterinya Mariam.

Sebelum ini, Jimmy mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 dan berpisah pada 10 Oktober 2012

Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Zahrah Rania Shanley, 3 tahun.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive