KONSERT akhir program realiti Kilauan Emas musim keempat (KE4) cukup meninggalkan impak tersendiri. Sudahlah tiba-tiba sahaja malam final jadi berganda, acara konsert akhir di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur Rabu lalu juga dibuka dengan pelbagai drama dan insiden panas.
Kekecohan mula timbul di bahagian pintu masuk dewan tersebut selepas penonton naik angin apabila sebahagian besar daripada mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Semuanya gara-gara masalah tidak cukup tempat duduk.
Akhirnya, ratusan penonton yang memiliki pas masuk terpaksa akur dan hanya bersila di luar dewan. Hajat hendak menonton secara langsung tidak kesampaian sebaliknya mereka menonton konsert tersebut menerusi layar skrin yang dipasang di saat-saat akhir.
Namun penonton yang mendapat tempat duduk di dalam dewan itu bukanlah bernasib baik. Apa tidaknya, keadaan dewan dengan kerusi yang disusun terlalu rapat membuatkan penonton bagaikan tersepit.
Sudahlah terpaksa duduk menonton dalam keadaan merimaskan, suasana sistem pendingin hawa dalam dewan juga sekejap sejuk, sekejap panas. Keadaan menjadi lebih panas sewaktu program realiti nyanyian yang mengetengahkan bakat individu berusia 40 tahun ke atas itu sampai ke acara kemuncak.
Di penghujung program ketika waktu yang ditunggu-tunggu iaitu pengumuman pemenang dibuat, momentum program yang dirasakan sudah sampai klimaksnya, bertukar plot.
Semuanya bermula apabila pengacara program, Raja Azura secara tiba-tiba menghentikan pengumuman pemenang di tempat ketiga, naib juara dan juara.
Pada malam itu, Raja Azura hanya mengumumkan pemang di tempat kelima dan keempat sahaja yang menjadi milik peserta dari Pahang, Mohammad Nasiruddin Mohd. Hashim (Nas) dan Nor-Din Yusoff (Nordin) dari Kelantan.
Nasib tiga peserta selebihnya iaitu Benasil Kudong (Ben), Md. Zain Ramli (Zain) dan Omar Sharif Mat Din (Arip) hanya akan diketahui pada Rabu depan menerusi sebuah lagi konsert yang diberi nama Konsert Mega Akhir Kilauan Emas.
Suasana jadi tegang, bukan sahaja peserta di atas pentas yang terkesima, malah reaksi penonton juga jelas meluahkan rasa dengan jerit protes. Ramai yang seolah-olah terpinga-pinga dengan kejutan yang tidak disangka-sangka itu.
Penyudah KE4 tidak semudah itu hendak diselesaikan. Astro barangkali terlalu sayangkan undian peminat sehingga berasakan itulah masa yang tepat untuk mempermainkan sokongan penonton secara bijak.
Bercakap mengenai program realiti, umum maklum mengenai konsep pertandingan di mana secara asasnya, segala kemungkinan boleh berlaku. Sebagai contoh, kemasukan semula peserta yang sudah tersingkir dan wujudnya minggu tiada penyingkiran. Itu kejutan yang biasa kita dengar.
Mungkin akibat terlalu klise dengan kejutan yang boleh dianggap lapuk itu, pihak Astro kali ini dilihat seperti mahu menampilkan kelainan yang tak pernah terjangkau di fikiran orang.
Istilah 'Mega Akhir' selepas berlangsungnya konsert akhir sememangnya tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah program realiti televisyen di negara ini.
Maka, tidak keterlaluan jika KE4 merupakan satu-satunya program realiti di tanah air yang mempunyai konsert terakhir yang disifatkan sebagai 'mega akhir.'
Timbul kekeliruan dalam fahaman erti kata 'akhir' itu sendiri. Logik akalnya umum mengetahui bahawa acara Rabu lalu itu merupakan persembahan penutup. Itu yang diuar-uarkan Astro sebelum ini.
Perkataan 'akhir' itu secara tidak langsung memberikan maksud penghujung. Secara mudahnya, ia boleh dikatakan sebagai penamat. Sayangnya tafsiran umum yang dipegang selama ini ada silapnya. Ini kerana KE4 membuat tafsiran baharu kerana selepas akhir sebenarnya boleh wujud 'mega akhir.'
Ekoran keputusan untuk mengadakan konsert mega akhir itu, berbagai-bagai respons yang diterima KE4. Lebih-lebih lagi menerusi laman sosial Twitter. Ramai yang mempertikaikan tindakan yang dilakukan oleh pihak Astro itu. Tidak kurang juga ada yang marah dan melontarkan pandangan secara kasar.
Jika penonton marah, marah mereka mungkin ada asasnya juga. Bayangkan pula situasi ahli keluarga dan penyokong yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sokongan.
Mana tidaknya, melihat saja kepada latar kedudukan geografi dua orang peserta yang bakal ke mega akhir, iaitu Ben dan Arip, masing-masing dari Sabah dan Pahang. Semestinya ahli keluarga mereka terpaksa bertandang sekali lagi di ibu kota pada minggu depan.
Mungkin juga ahli keluarga peserta terpaksa mengambil cuti sekali lagi, semata-mata untuk memberikan sokongan kepadanya pada konsert mega akhir nanti.
Bukan itu sahaja, ada juga yang menganggap kejutan berskala mega itu merupakan taktik kotor pihak Astro untuk mengaut keuntungan berganda. Apa yang dirasakan penonton itu ada rasionalnya.
Maklumlah, sebut sahaja pentas akhir, semestinya penyokong-penyokong di luar sana akan mengundi sebanyak mungkin. Sayangnya, itu bukan yang terakhir. Mereka perlu berhabisan duit sekali lagi untuk memastikan peserta kegemaran mereka mendapat gelaran juara pada Rabu depan.
Apa pun yang berlaku, penonton terpaksa akur dengan ragam permainan program realiti seperti KE4. Maklumlah, nama pun program realiti, semestinya semuanya mahu nampak semula jadi sungguh pun terpaksa membuat helah sehingga perlu mengadakan acara laluan karpet merah. Konon-kononnya, itu malam konsert terakhir. Rupa-rupanya itu konsert terakhir kepada peserta di tempat keempat dan kelima sahaja.
Bagi tiga peserta yang bakal menyandang gelaran juara, naib juara dan tempat ketiga, usaha terbaik Rabu lalu harus digandakan sekali. Tiga peserta iaitu Ben, Zain dan Arip sendiri tidak pernah tahu akan adanya konsert mega akhir selepas konsert akhir.
Sekurang- kurangnya kejutan itu dapat memberi peluang kepada para peserta yang mara ke konsert mega akhir nanti untuk memperbaiki kelemahan diri.
Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, perancangan awal untuk mengadakan konsert mega akhir sudah dirancang sejak awal lagi namun peserta tidak diberitahu.
"Cuma kita sudah beritahu mereka supaya bersedia dengan sebarang kejutan yang akan berlaku," katanya.
Mengulas mengenai undian yang dibuat penonton, katanya kesemua jumlah undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dibawa dan dicampur pada konsert mega akhir pada Rabu nanti.
"Jumlah undian peserta yang merangkumi 30 peratus pada hari ini (Rabu lalu), akan dicampur dengan undian pada minggu depan. Bagaimanapun, 70 peratus markah juri tetap akan dihitung semula di pentas mega akhir nanti," jelasnya.
Pada konsert mega akhir nanti, Ben, Zain dan Arip bakal bertarung sekali lagi bagi merebut gelaran juara. Johan bakal membawa pulang habuan wang tunai RM100,000 berserta sebuah kereta jenis Toyota Camry.
Apa yang pasti, konsert akhir KE4, boleh dikatakan troll terbesar dalam sejarah industri hiburan apabila pihak Astro bagaikan memperdaya jutaan penonton. Selepas KE4 menjadi perintis, tidak mustahil pula selain 'mega akhir' dan 'akhir', istilah seperti 'super mega akhir' pun boleh tiba-tiba muncul dalam mana-mana program realiti yang lain.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz3412nymC4 Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment