07 June 2014

Nurul Husna 9, dapat ganti rugi RM2.78 juta

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi RM2.78 juta kepada seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun sebagai ganti rugi dalam satu saman ke atas kerajaan, hospital dan 28 yang lain berhubung kecuaian perubatan kerana didakwa menyebabkan dia mengalami kerosakan otak.

Peguam Manmohan S Dhillon yang mewakili Nurul Husna Muhammad Hafiz berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan wang itu dibayar kepada ibu bapa kanak-kanak itu Muhammad Hafiz Abd Wasit dan Dr Nor Azalina Mohd Songib yang bertindak sebagai pemegang amanah kanak-kanak itu.

Mahkamah memberi ganti rugi wang sejumlah itu selepas mendengar testimoni tentang kuantum ganti rugi daripada ibu bapa dan tiga pakar perubatan, katanya kepada pemberita.

Manmohan berkata, pada 3 September tahun lepas, kerajaan, hospital dan semua defendan mengaku bertanggungjawab atas kecuaian itu.


Beliau berkata, RM2.78 juta itu adalah RM345,031.9 untuk ganti rugi khas, RM151,330 bagi ganti rugi praperbicaraan, RM350,000 bagi ganti rugi kesakitan dan penderitaan dan RM1,937,810 bagi ganti rugi masa depan.

"Mahkamah memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapa bahawa mereka adalah pemegang amanah dan mesti menggunakan wang itu untuk kanak-kanak itu," katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM213,864 kepada plaintif.

Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Hafiz, yang bekerja sebagai pegawai bank, ketika ditanya berhubung keputusan itu berkata, beliau berpuas hati dengan kuantum itu dan wang itu akan digunakan untuk menjaga anaknya pada masa depan.

Pada Disember 2012, Nurul Husna memfailkan saman melalui ibu bapanya. Nurul Husna dan ibunya, Dr Nor Azalina tidak hadir di mahkamah hari ini.

Dalam pernyataan tuntutannya Dr Nor Azalina mendakwa Nurul Husna mengalami kerosakan otak yang teruk dan tidak boleh dipulihkan berikutan kecuaian defendan.

Dr Nor Azalina berkata, beliau melahirkan Nurul Husna di Hospital Selayang pada 22 Julai, 2005.

Dalam saman itu, mereka menamakan kerajaan, 21 doktor dan lapan kakitangan perubatan termasuk jururawat, yang terbabit dalam merawat dan menguruskan kanak-kanak itu di hospital, sebagai defendan.

Dr Nor Azalina berkata, kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab kontraktual untuk melaksanakan kemahiran dan penjagaan yang sewajarnya menyebabkan dia mengalami kebimbangan dan penderitaan mental.

Katanya sepanjang hayatnya Nurul Husna akan bergantung kepada orang lain untuk semua aktiviti kehidupan hariannya.

Peguam kanan Persekutuan Zaliha Mohd Janis mewakili defendan. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive