Penduduk Arab Saudi menyambut Ramadan pada 10 Julai iaitu sama dengan negara kita. Penulis sempat bersolat Tarawih pada malam pertama di Masjid Nabawi di Madinah. Solat sunat itu dilakukan sebanyak 20 rakaat dan imam membaca satu juzuk setiap malam. Pada akhir solat witir, imam hanya membaca surah al-Ikhlas berbanding tiga ‘Qul’ dibaca imam di negara kita. Imam juga membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat witir berbanding di negara kita hanya dibaca mulai pada malam 15 Ramadan.
Penulis berpuasa hanya pada hari pertama di Madinah kerana berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada hari yang sama. Perjalanan yang agak jauh menyebabkan kami berbuka puasa dalam bas, sebelum berhenti untuk menjamu selera di sebuah restoran yang menyediakan nasi ala Yaman di Wadi Qudaik. Oleh kerana waktu itu berbuka puasa, banyak bas membawa Jemaah pelbagai negara singgah di situ.
Rombongan kami tiba di Makkah ketika solat Tarawih berlangsung. Sebaik solat selesai, pihak polis tidak membenarkan jemaah luar masuk sehingga kebanyakan jemaah di dalam Masjidilharam keluar. Oleh itu, mutawif menasihatkan kami menyelesaikan tawaf selepas bersahur.
Ketika memulakan tawaf, penulis melihat binaan projek tempat tawaf bertingkat sedang dilakukan. Pelaksanaan projek dengan tiang besi tempat tawaf bertingkat itu sedikit sebanyak menjejas kelancaran perjalanan tawaf, lebih-lebih lagi berhampiran Hajarul Aswad apabila jemaah memperlahankan pergerakan.
Laluan ke kawasan saie berubah
Selesai tawaf dan melakukan solat sunat tawaf di kawasan yang terhad, kami meneruskan perjalanan untuk melakukan saie di antara Bukit Safa dan Marwah. Laluan ke kawasan saie juga berubah dan banyak lencongan dibuat. Sebanyak tiga kali umrah penulis lakukan dalam tempoh empat hari dan terpaksa menggunakan laluan berlainan untuk ke kawasan saie. Kali terakhir kami dibawa bersaie di tingkat atas.
Menyedari keadaan ini, penulis bersetuju dengan langkah pihak berkuasa Arab Saudi mengehadkan jumlah kedatangan jemaah umrah dan haji demi keselesaan dan keselamatan jemaah itu sendiri. Jika tiada kawalan, jumlah jemaah yang terlalu ramai bertawaf dan berjalan berhimpit-himpit boleh menyebabkan ada yang sesak nafas dan jika terjatuh boleh mangsa dipijak seperti yang pernah berlaku di kawasan melontar jamrah pada musim haji beberapa tahun sebelum ini.
Selesai bersaie dan bergunting, penulis bersama anak perempuan dan rakan keluar ke dataran Masjidilharam. Kami dihampiri seorang lelaki ‘Bangladesh’ bertanya: “Botak?”. Penulis faham maksudnya iaitu bertanyakan sama ada penulis mahu bercukur. Penulis dan rakan mengangguk kepala tanda setuju.
Sejak tahun lalu, kebanyakan premis gunting rambut yang beroperasi di bangunan yang dirobohkan dikumpulkan di satu kawasan khas tingkat bawah Al Safwa Tower. Oleh kerana ramai orang tidak tahu, pengusaha gunting rambut menggunakan khidmat ‘jurujual’.
Pada malamnya, penulis berbuka puasa di Masjidilharam. Restoran berdekatan membuat tawaran kepada mana-mana dermawan untuk menyumbang makanan kepada orang ramai. Biasanya satu bungkus makanan dan minuman berharga 5 rial. Jika menyumbang 100 rial, dapat memberi makan untuk 20 orang.
Berbuka di tingkat atas Masjidilharam
Sejam sebelum berbuka, orang ramai memenuhi dataran dan setiap sudut Masjidilharam. Penulis berbuka bersama warga negara lain di tingkat paling atas. Walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain, kami bertukar-tukar makanan yang dibawa seperti buah tamar, anggur dan pisang. Orang di sebelah penulis memberikan sebotol susu dan yang lain berikan sekeping roti menyerupai capati.
Sukarelawan lain pula menyedia minuman air zam-zam, teh dan kopi herba. Kalau diikutkan kebaikan sukarelawan, mahu kembung perut penulis kerana sepanjang perjalanan sesudah solat kerana ramai mempelawa minum. Ketika berbuka, biasanya hanya mengambil makanan ringan dan makanan berat hanya ketika berada di hotel.
Esoknya, pada pagi Jumaat ketika solat Subuh, imam Masjidilharam, Abdul Rahman as-Sudais tidak membaca Surah As Sajdah yang ada sujud sejadah seperti kebiasaan dibaca imam di negara kita. Penulis perasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, imam Masjidilharam dan Masjid Nabi jarang membaca Surah Sajdah.
Ketika menunggu masuk waktu solat Jumaat, penulis disapa seorang lelaki dengan memperkenalkan diri sebagai Enayatollah Yazdani (PhD). Beliau mengakui pernah ke Malaysia dan mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang juga Profesor Madya Hubungan Antarabangsa di Jabatan Sains Politik, Universiti Isfahan, Iran, sempat berseloroh bahawa orang Malaysia pandai membaca al-Quran, tetapi tidak pandai berbahasa Arab.
Khutbah Jumaat panjang
Ketika solat Jumaat, imam as-Sudais membaca khutbah agak panjang. Sesekali beliau sebak. Penulis bertanya kepada seorang mutawif selepas solat, beliau berkata as-Sudais sedih mengenang nasib umat Islam di Palestin, Syria dan lain-lain. Imam as-Sudais meneruskan solat Jumaat dengan hanya membaca surah pendek kalau tidak salah penulis, Surah al-Qadr pada rakaat pertama dan Surah al-Kausar pada rakaat kedua.
Oleh kerana ruang sekitar Masjidilharam agak terhad berikutan ramai jemaah pada Ramadan, kita tidak berpeluang berehat atau bersantai di ruang bukan tempat solat. Polis Arab Saudi meminta kita beredar. Malah, untuk bersolat sunat tawaf juga perlu disegerakan dan selepas berdoa diminta beredar.
Begitu juga jika tiba di masjid lewat 15 minit sebelum waktu solat, polis tidak akan benarkan masuk, sebaliknya mengarahkan kita bergerak ke laluan naik ke tingkat masjid paling atas. Kadang-kadang agak jauh perlu berjalan.
Memang seronok berada di Tanah Suci Makkah, khususnya di Masjidilharam kerana kita dapat menemui umat Islam dari pelbagai bangsa, selain dapat melihat kumpulan besar jemaah yang datang dari India, Pakistan, Turki, Afrika dan China. Penulis teringin melihat kumpulan besar jemaah kulit putih berketurunan Inggeris, Amerika, Jerman, Perancis dan Russia.
Pembangunan di luar kawasan Masjidilharam juga berjalan rancak. Banyak hotel lama sudah dirobohkan. Sekurang-kurangnya tiga hotel yang pernah penulis menginap sudah dirobohkan, termasuk satu yang terbabit dalam projek pembesaran Masjidilharam dan dua lagi di Jalan Misfalah. Kerja perobohan rancak dilakukan pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment