PETALING JAYA: Bekas AJK Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin mempersoal tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang berlepas ke Jakarta.
Menurut beliau, sumber terdekat dengan Muhyiddin memberitahu pemergian itu ada kaitan untuk membincangkan perkembangan politik terbaru mengenai dirinya serta hubungannya dengan Perdana Menteri yang menjadi perbualan ramai ketika ini.
“Difahamkan, hasil daripada perbincangan tersebut, tidak mustahil Muhyiddin akan membuat suatu keputusan yang mengejutkan.”
“Namun tidak mustahil juga beliau dinasihati agar terus kekal dan bersabar sehingga pilihanraya umum akan datang,” katanya.
Tambahnya lagi, bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin dalam blognya juga menulis bahawa Muhyiddin memang diketahui telah memberitahu beberapa rakannya mengenai hasrat untuk meletakkan jawatan dan walaupun alasan yang diberi ialah umur tetapi dikatakan juga menyimpan perasaan kecewa yang mendalam tentang beberapa hal.
“Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak masih menangguhkan rancangannya untuk merombak kabinet, meskipun wakil daripada MCA dan Gerakan yang sebelumnya dipelawa dan dijanjikan jawatan dalam kabinet sudah tidak sabar mahu berada dalam kerajaan.
“Rombakan kali ini, juga dipercayai menaikkan taraf sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Kewangan,” jelasnya di dalam blog shahbudindotcom.blogspot.com.
Katanya lagi, langkah itu pastinya akan membuatkan Muhyiddin tersinggung kerana ia menunjukkan seolah-olah PM sedang mempersiapkan Hishammuddin untuk mengambil-alih tempatnya.
“Penafian PM sambil mengatakan ia hanya rekaan politik tetapi dalam masa yang sama masih menangguhkan rombakan kabinet, membuktikan bahawa beliau memang ada rancangan untuk menaikkan Hishammuddin sambil menyisihkan Muhyiddin secara perlahan-lahan.”
“Namun, oleh kerana isu ini sudah menjadi perbualan ramai, kemungkinan besar ianya ditukar dan ditangguhkan dahulu sehingga keadaan stabil. Muhyiddin juga dikatakan semakin memahami permainan politik PM dan nasib yang bakal menimpa dirinya,” ujarnya.
Dalam masa yang terdekat ini, terdapat dua perkara yang akan menjadi penantian rakyat iaitu, rombakan kabinet dan pengumuman Muhyiddin mengenai masa depannya melalui perbincangan dengan rakan-rakannya di Jakarta,” katanya.- FMT
No comments:
Post a Comment