Empat hari seminggu, Munirah Abdul Hamid, seorang nenek berusia 64 tahun akan turun ke jalanan untuk memberi makan dan menjaga kira-kira 800 gelandangan serta kutu rayau.
Beliau mendapat idea ini daripada seorang rakannya yang sakit tenat tujuh tahun lalu.
"Rakan saya ini mengidap kanser semasa dia suruh saya mulakan soup kitchen atau dapur jalanan. Pada April 2009, dia suruh saya lakukannya secepat mungkin tetapi beliau meninggal dunia seminggu kemudian," kata pengasas Soup Kitchen, Pertiwi (Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia) kepada The Malaysian Insider.
"Kami mengambil masa bertahun-tahun untuk merancang dan melaksanakannya. Ia perlukan sedikit masa untuk lakukannya dan memastikan ia kekal,” katanya.
Munirah berkata, cabaran yang dihadapi mereka adalah memastikan ia kekal dan mempunyai peruntukan untuk menjayakannya.
"Jadi apa yang saya lakukan ialah selagi saya bekerja, saya akan peruntukkan beberapa ribu ringgit sebulan untuk memberi makan kepada mereka yang tidak bernasib baik ini. Mungkin sedikit yang akan dapat makanan, tetapi saya akan teruskan," katanya.
Malah, sokongan kepada soup kitchen juga semakin kuat sejak ia dilancarkan.
Munirah juga terkejut dengan sokongan yang diterima, antaranya daripada syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan dermawan.
"Ia sangat menakjubkan. Orang ramai dengar tentang kami dan mahu membantu.
"Kami mula beri khidmat perubatan dua tahun lalu dan seorang pendandan rambut sukarela untuk memotong rambut percuma kepada gelandangan yang tidak berkemampuan," katanya.
Soup kitchen kini sudah beroperasi selama empat tahun dan mempunyai kira-kira 800 gelandangan serta golongan tidak bernasib baik.
Mereka memberi makan dan khidmat perubatan empat kali seminggu, pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Antara lokasi mereka ialah bermula di Chow Kit pada jam 9 malam sebelum beralih ke Kota Raya dan kemudian ke sekitar Masjid India.
Bagaimanapun, usaha murni mereka terancam apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kata dua, sama ada keluar dari ibu kota atau hadapi penalti.
"Kami tetap akan teruskan. Biar mereka ambil tindakan, ia lebih daripada sekadar beri mereka makan," kata Munirah.
Munirah berkata, ia bukan satu kesalahan untuk menolong mereka yang tidak bernasib baik dan tidak mampu untuk sesuap nasi.
"Kami berkongsi dengan mereka yang bergelut untuk hidup, yang tidak mampu makan setiap hari. Adakah itu salah?" katanya.
Selain soup kitchen, katanya, banyak kumpulan lain yang mengadakan aktiviti sama, antaranya Kechara Soup Kitchen, pihak kuil, gereja dan masjid juga membantu memberi makanan.
"Pada mulanya, gelandangan agak was-was dengan kami dan ia ambil sedikit masa untuk menanamkan kepercayaan dan hubungan baik dengan mereka. Sekarang, mereka sentiasa mendampingi kami," kata Munirah.
Katanya, makanan dimasak oleh dua vendor meliputi nasi, sayur-sayuran, telur dan ayam atau ikan.
"Kami juga beri air sejuk dan panas serta buah-buahan secara percuma," katanya.
Kira-kira 30 sukarelawan membantu soup kitchen mengedarkan makanan.
Munirah juga menyifatkan kenyataan Tengku Adnan yang menganggap golongan gelandangan ini sebagai pengemis adalah salah.
"Tengku Adnan salah faham tentang perkara ini.
"Mereka bukan pengemis. Mereka memiliki kerja tetapi tidak cukup wang untuk mempunyai tempat tinggal dan makanan.
"Sesetengah ibu yang datang membawa lima anak kecil dan mereka mungkin menetap di bilik kecil di Chow Kit serta mungkin suami mereka dalam penjara," kata Munirah.
Sebaik pengumuman Tengku Adnan, pengasas soup kitchen itu berkata jumlah mereka yang datang juga kurang daripada biasa, mungkin bimbang akan diambil tindakan.
"Semalam (Jumaat) hanya 400 orang. Mereka bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa dan diambil tindakan.
"Ada juga daripada mereka hubungi saya memberitahu akan pergi ke tempat lain di mana tiada tindakan akan diambil. Saya tidak tahu ke mana mereka pergi," katanya.
Tengku Adnan berkata, tindakan tegas itu diambil sebagai langkah serius kerajaan untuk membersihkan kegiatan gelandangan dan pengemis di ibu negara.
Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.
"Mengenai gelandangan ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.
"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," kata Tengku Adnan.
Tengku Adnan berkata, meskipun tindakan tersebut kelihatan kejam namun ia terpaksa dilakukan untuk mendisiplinkan masyarakat.
Katanya, NGO berkenaan juga perlu mencari lokasi lain luar dari pusat bandar sekiranya mahu memberikan makanan percuma.
Bagaimanapun, ancaman tersebut tidak akan menggugat Munirah yang bertegas akan tetap meneruskan aktiviti mereka.
"Saya tahu akan berdepan tindakan tegas nanti tetapi saya bersedia," kata Munirah.
Bagi individu seperti Munirah, pemberian bukan sekadar dengan menulis wang atas cek, tetapi ia mestilah mampu menyentuh hati seseorang, katanya memetik kata-kata pengacara barat terkenal Oprah Winfrey. – 6 Julai, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dapur-jalanan-bukan-sekadar-beri-makan-kepada-gelandangan-kata-pengasas#sthash.vByrHW5w.dpuf
No comments:
Post a Comment