Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mencadangkan beliau tukar nama ke 'Samyhin' and 'berdating' dengan penaung Negara-ku, Datuk Ambiga Sreenevasan untuk bertukar pendapat berhubung integrasi nasional
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mengatakan menjadi harapannya pada satu hari nanti dapat “berdating” dengan bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan untuk saling bertukar pendapat demi mencapai integrasi nasional.
Selain itu, Ibrahim juga bersetuju namanya ditukar kepada "Samyhim" bagi membolehkan Perkasa yang dikepalainya itu menganggotai kumpulan baru Negara-Ku.
"Mana dia demokrasi dan hak asasi telus yang diperjuangkan oleh Ambiga? Saya harap satu hari nanti,saya dapat 'dating' dengan Ambiga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim juga mencadangkan nama Ambiga ditukarkan kepada Aminah bagi melancarkan proses integrasi nasional.
"Saya bersetuju menukar nama saya kepada Samyhim untuk menenuhi syarat Perkasa diterima kumpulan Negara-Ku yang dinaungi Ambiga. Perkasa ada hak untuk didengar kerana Perkasa pertubuhan halal.
"Nama saya Samyhim dan Ambiga saya beri nama Aminah. Ia sebagai proses integrasi nasional. Ia juga untuk menjaga kredibiliti Ambiga supaya tidak dicap pilih kasih bila bersyarat dengan Perkasa," katanya.
Sebuah gerakan rakyat baru yang dinamakan "Negara-Ku" dilancarkan pada Khamis bertujuan memulihkan Malaysia serta mengembalikan harapan ketika cabaran masa kini menjejaskan keamanan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Digelar sebagai "gerakan rakyat menuntut tanah air," ia diketuai dua individu terkenal sebagai penaung, iaitu Ambiga dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
Negara-Ku disokong oleh 68 kumpulan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.
Ambiga berkata, pergerakan itu bertujuan memberi rakyat maklumat betul untuk memenuhi cabaran yang dihadapi masyarakat Malaysia.
Katanya, ia akan dilakukan menggunakan video, media sosial dan forum serta ceramah untuk memastikan orang ramai mendengar, menyoal dan berfikir.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara itu juga mahu namanya ditukar kepada Ah Him supaya dapat mengelak dihentam dari DAP dan Majlis Peguam.
"Kepada puak DAP dan pengerusi Majlis Peguam, tolong jangan hentam saya lagi sebab saya sudah lama tukar nama dari Ibrahim Ali ke 'Ah Him'.
"Saya lakukan ini sebagai pengorbanan untuk memuaskan nafsu mereka ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim mendakwa ahli Melayu yang menganggotai Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) adalah pekak dan diperalatkan.
Beliau turut mencadangkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ditukarkan namanya kepada “Muntahik” kerana mencadangkan Perkasa dan Isma diharamkan.
"Wakil Melayu Islam dalam MKPN tidak akan berperanan secara berkesan selain dari pekak dan diperalatkan. Jumlahnya lebih kecil dari puak yang ada niat tertentu.
"Perkasa ingin mengusulkan PAS memohon kepada Majlis Peguam supaya melantik Mujahid sebagai 'Pegawai Barua Majlis Peguam' supaya peranannya lebih berkesan.
"Namanya juga patut ditukar dengan nama baru 'Muntahik' sebagai menghargai cadangannya supaya Perkasa dan Isma diharamkan," katanya. – 12 Julai, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/untuk-capai-integrasi-nasional-ibrahim-ali-mahu-dating-dengan-ambiga#sthash.CC2Whpii.dpuf
No comments:
Post a Comment