31 July 2014

Isu MB Selangor - PR boleh hilang Selangor - Dr Jeniri Amir.

  • Dr Jeniri AmirDr Jeniri Amir
 1 / 1 
SHAH ALAM –  Kemelut terkini dihadapi PR dalam isu kerusi Menteri Besar Selangor perlu diselesaikan segera, kata Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir.

Katanya, jika dibiarkan berlarutan terlalu lama, PR bakal berdepan risiko kehilangan Selangor seperti mana krisis yang melanda negeri ditadbir mereka, Kedah, satu masa lalu.

Beliau berkata, PR sepatutnya menjadikan isu itu pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan sama, sehingga menggambarkan pimpinan tertinggi parti tiada kesepakatan dan tidak mampu menangani krisis dalaman mereka.

“Ini beri gambaran yang amat buruk kepada rakyat, bukan sahaja di Selangor, malah seluruh negara terhadap keupayaan PR yang dikatakan menjadi pengganti BN di masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih membimbangkan jika lewat ditangani secara bijaksana dalam waktu terdekat akan menimbulkan keretakan yang amat besar dan mungkin kesudahannya berlaku perpecahan komponen PR.

“Saya fikir mereka tidak harus membiarkan isu ini terlalu lama. Mereka perlu belajar dengan  kegagalan urus tadbir di Kedah yang akhirnya terlepas kerana rakyat kecewa.

“Jangan hairan hal ini juga berlaku di Selangor dan pentadbiran negeri bakal kembali semula akan kepada BN,” katanya.

Bagaimanapun, katanya itu terpulang kepada kepimpinan parti menyelesaikan segera konflik tersebut.


PR Ada Potensi Berpecah

SHAH ALAM - Tindakan PKR mahu meletakkan Adun Kajang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor boleh menyebabkan perpecahan dalam PR.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, perpecahan boleh diandaikan berlaku kerana pimpinan dalam PR selesa dan berpuas hati dengan corak pemerintahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor.
“Saya hanya meramal dan mungkin ini (perpecahan) akan berlaku memandangkan Abdul Khalid dilihat mampu mengurus tadbir negeri dengan cemerlang dan tiada alasan untuk menukarkan Menteri Besar Selangor.
“Jika meneliti rekod, Wan Azizah tiada pengalaman mengurus tadbir negeri kerana tidak pernah dilantik menjadi menteri. Jadi timbul persoalan adakah Wan Azizah berjaya mentadbir Selangor atau hanya dibayangi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya, semalam.
Jelas Ahmad Atory, Wan Azizah juga tidak mempunyai pengalaman seperti Abdul Khalid yang merupakan tokoh korporat serta mahir dalam selok-belok pentadbiran dan ekonomi demi memastikan Selangor maju membangun.
“Wan Azizah juga tiada pengalaman ekonomi. Jadi kita tak pasti sama ada Wan Azizah lebih berkesan untuk mentadbir Selangor atau lebih teruk daripada Abdul Khalid.
“Apa yang kita lihat Ketua Umum PKR, Anwar hendak meletakkan isterinya sebagai menteri besar semata-mata untuk meneruskan legasinya sahaja,” katanya.
Beliau berpendapat itu antara sebab Pas sepakat memberi sokongan supaya Abdul Khalid dikekalkan.
Malah katanya, kebanyakan pengamal politik mempertikai tindakan Anwar yang enggan mendedahkan beberapa polisi yang dibawakan Abdul Khalid yang dikatakan tidak sesuai atau tidak berkesan.
“Apakah Wan Azizah boleh melancarkan polisi yang didakwa tidak berkesan dilaksanakan oleh Abdul Khalid? Mungkin rakyat juga tidak yakin pentadbiran Wan Azizah lebih lancar daripada pemerintahan Abdul Khalid,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive