19 July 2014

Kiki #CDM25 dibebaskan dengan jaminan polis

alt
KUANTAN 18 Julai - Polis mengesahkan telah membebaskan wanita yang ditahan selepas menjadi perhatian umum berikutan rakaman menunjukkan dia mengamuk dan memukul kenderaan seorang warga emas yang terlanggar keretanya Isnin lalu, tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30, dibebaskan dengan jaminan polis lewat malam tadi selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang semalam.
“Wanita terbabit telah dibebaskan selepas kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan olehnya,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Siti Fairrah Asyikin hadir bersama ibu bapa dan ahli keluarganya di IPD Kuantan pada pukul 4 petang semalam bagi memberi kenyataan berhubung insiden tersebut.
Dia yang juga dikenali sebagai Kiki dalam media sosial mencetuskan kontroversi selepas perlakuan ganasnya terhadap seorang pesara di sini, dirakamkan dan dimuat naik ke dalam internet.
Wanita itu naik angin selepas kereta jenis Peugeot 208 miliknya tercalar setelah dilanggar seorang pesara yang memandu sebuah kereta Toyota Corolla.
Selain memaki-hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat, Kiki turut merampas pengunci stereng milik pesara tersebut lalu memukul bahagian hadapan, bumbung dan tingkap Toyota Corolla berkenaan.
Menurut Abdul Aziz, pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dengan mengambil keterangan beberapa saksi lagi termasuk orang awam dan anggota polis.
“Siasatan lanjut masih dijalankan tetapi buat masa ini kita bebaskan dahulu wanita tersebut selepas berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan," katanya.
Katanya, pada masa ini wanita terbabit masih lagi disiasat mengikut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Namun, kita akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk sebarang perubahan seksyen berikutan tindakan wanita itu membuang pengunci stereng terbabit," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive