20 July 2014

Kiki #CDM25 dihadapkan ke Mahkamah Selasa depan


KUANTAN - Siti Fairrah Ashyikin Kamaruddin atau Kiki, 30, yang didakwa bertindak ganas dengan membuli seorang warga emas di sini Isnin lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini Selasa depan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, wanita itu akan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
"Dia yang ditahan pada pukul 4 petang Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dibebaskan dengan jaminan lewat malam hari yang sama. "Kiki dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini polis masih belum menemui pengunci stereng kereta yang dibuang oleh wanita itu di kawasan Pasar Besar Kuantan di sini pada hari kejadian.
Kejadian wanita itu membuli warga tua, Sim Siak Heong, 68, dirakam oleh orang awam sebelum video berdurasi 2.33 minit yang dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube menjadi viral dan trending sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai terhadap Kiki.
Wanita terbabit dilihat telah membuli seorang warga emas berumur 68 tahun selepas warga emas itu dikatakan melanggar keretanya.
Dia dilihat mengetuk-ngetuk kereta lelaki berkenaan dengan pengunci stereng kereta sambil memaki mangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang memandang serius kejadian itu, mengakui terkejut melihat perlakuan wanita terbabit yang bertindak mengetuk kereta warga tua berkenaan sebelum mengarahkan siasatan terhadap kejadian itu. - KOSMO

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive