SEREMBAN: Syefura Othman, 25, gadis Melayu terbaru yang menyertai parti DAP, membidas kritikan pihak luar dan berkata beliau tidak akan murtad hanya kerana telah menyertai DAP.
“Saya tengok ada orang kata bila saya sertai DAP seolah-olah saya dah lupa asal usul, bangsa dan agama saya.
“Saya tak kan murtad hanya kerana saya jadi ahli DAP. Saya tetap Melayu dan tetap menjunjung Islam.
“Mereka yang melatah bila tengok orang Melayu masuk DAP ini adalah orang yang takut pada bayang-bayang sendiri.
“Saya memilih DAP kerana ia lebih terbuka dan lebih memberi ruang kepada bakat politik anak muda terutamanya golongan wanita,” kata Syefura.
Syefura yang menampilkan imej muslimah memberikan jawapan positif apabila ditanya FMT samaada lebih ramai anak muda Melayu terutama anak gadis yang mahu menyertai DAP selepas melihat langkah Syefura.
“Ya, saya akan membawa lebih ramai sahabat perempuan saya masuk DAP. Sebab sejak saya menjadi ahli ada sahabat-sahabat perempuan saya sudah mula bertanya tentang penglibatan saya serta tentang parti itu sendiri.
“Saya percaya apabila lebih ramai orang Melayu menyertai DAP, maka pengkritik di luar sana tak boleh melabelkan DAP sebagai parti rasis atau parti Cina,” Syefura berkata demikian di majlis Iftar DAP cawangan Seremban bersama kepimpinan PAS dan PKR setempat serta media.
Turut hadir adalah Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook (DAP), Ketua Pemuda DAP Malaysia dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mohd Taufek Abdul Ghani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat Aminuddin Harun dan ADUN Nilai J Arulkumar.
No comments:
Post a Comment