15 July 2014

Sultan Selangor murka Khalid Samad persoal kuasa MAIS

Ingat balik...pada 17 Jun baru ini, Ahli Parlimen PAS kawasan Shah Alam,Khalid Samad telah mendesak PAS meminta kerajaan negeri Selangor meminda peruntukan enakmen bagi mengurangkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).Ini ekoran kontroversi MAIS tidak mahu memulangkan Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Persatuan Bible Malaysia dekat Petaling Jaya Januari lalu.

Ramai juga yang terkejut beliau membuat kenyataan seumpama itu kerana MAIS adalah dibawah naungan Sultan Selangor.Baginda mempunyai kuasa dalam semua urusan hal ehwal agama Islam di negeri itu.

Malah Pengerusi Perhubungan PAS Selangor ,Iskandar Samad segera membuat kenyataan bahawa apa yang dicakap Khalid itu bukan pendirian rasmi PAS Selangor.

Setelah hampir sebulan berlalu,Sultan Selangor akhirnya bersuara.Baginda nyata amat murka dengan kenyataan Khalid itu.

Dalam titah ketika merasmikan Masjid Pekan Sepang petang Selasa baginda secara terbuka sebut nama Khalid.Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Beta merujuk kepada petikan laporan akhbar-akhbar utama tanahair pada 18 Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad telah mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS.Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

"Khalid Samad yang bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil segala langkah untuk melengkapkan diri untuk memahami sejarah Negeri Selangor dan mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-ndang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

"Kenyataan Khalid Samad itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Beta dalam menjalankan kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.

"Tindakan Khalid Samad mempersoalkan kuasa MAIS seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan kepada kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam yang mendapat nasihat dari pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang. Ini bukan kali pertama Khalid Samad telah mempersoalkan tentang isu berkaitan tentang kuasa eksekutif MAIS dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.

"Oleh itu Beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa Beta dan peranan MAIS di dalam menasihati Beta mengenai Beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk menegaskan bahawa MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam mengamalkan agama mereka.

"MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan JAIS adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menggangu penganut agama lain di dalam menganut agama.

"Beta sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama Islam sebagai modal politik. Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di Negara ini sentiasa terpelihara.

Sebelum itu Sultan Selangor melahirkan rasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri, tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.-15/7/2014

1 comment:

Anonymous said...

sesiapa pun yang menjadi pemimpin mestilah mempunyai ilmu dalam bidangnya...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive