13 August 2014

Isu MB Selangor : Exco PAS Letak Jawatan Jika Umno Sertai Kerajaan







PETALING JAYA: PAS memberi kata dua kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa empat exco mereka akan meletak jawatan sekiranya wakil rakyat Umno dilantik menganggotai kabinet Selangor.
Penegasan itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad selepas parti itu dikecam oleh rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat kerana menolak gesaan memboikot mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
"PAS akan keluar daripada kerajaan jika Adun Umno dilantik sebagai exco. PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat.
"PAS akan menjaga kepentingan Pakatan Rakyat di dalam kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Bagaimanapun beliau kecewa apabila PAS dituduh sebagai pengkhianat Pakatan Rakyat apabila mematuhi arahan pucuk pimpinan parti untuk terus menjalankan tugas sebagai exco.
"Kami juga mahu memastikan Umno tidak mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang.
"Tetapi kami menghadapi risiko dituduh telah mengkhianati Pakatan Rakyat," katanya.
Pada Selasa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta empat exco PAS Selangor supaya memboikot mesyuarat exco yang dijadual berlangsung pagi Rabu bagi menunjukkan bantahan dan solidariti PR terhadap tindakan Abdul Khalid memecat enam exco PKR dan DAP pada lewat petang Selasa.
Bagaimanapun empat exco PAS yang masih berada dalam kebinet Abdul Khalid iaitu Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Iskandar sendiri hadir pada mesyuarat berkenaan awal hari ini.



Pecat Exco: Surat Perkenan Sultan Selangor Didedah

Diterbitkan: Rabu, 13 Ogos 2014 2:47 PM
PETALING JAYA: Selepas didakwa bertindak tidak mengikut undang-undang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya mendedahkan surat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemecatan lima exco Pakatan Rakyat negeri itu.

Salinan surat perkenan Sultan Selangor berhubung pemecatan lima exco Pakatan Rakyat yang didedahkan  Khalid di laman Twitternya. 
Menerusi surat bertarikh 12 Ogos yang dialamatkan kepada Khalid itu, baginda mengambil maklum mengenai cadangan untuk menamatkan perkhidmatan lima exco iaitu dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga lagi yang mewakili DAP.

"Beta tiada halangan jika YAB Tan Sri Menteri Besar menamatkan khidmat mereka," titah baginda seperti yang terkandung dalam surat tersebut.

Pada Selasa, Khalid mengemukakan surat cadangan bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya kelima-lima exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta.

Tiga anggota exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah, sementara exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive