27 August 2014

Halim Saad gagal dalam rayuan saman RM1.8 bilion terhadap Khazanah dan dua yang lain

PUTRAJAYA 27 Ogos - Hartawan Tan Sri Halim Saad hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengembalikan semula saman RM1.8 bilion yang difailkan terhadap Khazanah Nasional Berhad dan dua yang lain berhubung penyelesaian untuk melepaskan pegangan dalam Renong Berhad.

Tiga anggota panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Halim yang difailkan dalam usaha untuk menukar keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap tiga responden.

``Kami dapati kesimpulan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi bahawa dakwaan plaintif (Halim) jelas tidak mapan atas alasan tempoh had masa telah ditetapkan dan persetujuan dan penyelesaian, adalah betul,'' katanya.

Hakim Zaharah yang bersidang dengan Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Varghese George Varughese, memerintahkan Halim untuk membayar kos perundangan RM25,000 kepada Khazanah dan RM25,000 lagi kepada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Pada 31 Okt, 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan yang dibawa oleh Khazanah, Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan untuk membatalkan saman Halim memandangkan ia (saman itu) difailkan selepas tempoh had masa enam bulan berakhir seperti yang ditetapkan mengikut Akta Had Masa 1953. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive