19 August 2014

Media arus perdana, blog pro-BN, senyap bila Mahathir kritik Najib

Akhbar utama Malaysia hari ini senyap berkenaan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran dan polisi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, meskipun beberapa pemimpin yang rapat dengan bekas perdana menteri itu berkata ia sudah bermula sejak beberapa bulan lalu.
Kebanyakan blogger pro-Umno juga tidak memberikan sebarang kenyataan, dan hanya blog Out Syed The Box milik Syed Akhbar Ali membincangkan penarikan balik sokongan Dr Mahathir terhadap Najib.
Kurangnya liputan berkenaan berita itu berkemungkinan disebabkan pengarang mereka mendiamkan diri terhadap segala kritikan yang diterima perdana menteri, lebih-lebih lagi Dr Mahathir dalam blognya semalam mengkritik penyokong kerajaan yang tidak menegur Najib.
"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara," katanya menerusi blog popularnya, chedet.cc.
"Ini kerana penyokong kerajaan tidak menegur pemimpin mereka."
Syed Akbar, blogger ternama pro-Umno menyuarakan kenyataan Dr Mahathir, Najib menunjukkan prestasi yang lebih teruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan jawatan pada 2009 selepas diserang Dr Mahathir.
"Ketika Dr Mahathir menggesa Badawi meletak jawatan, ramai yang menyertainya. Itu kali pertama blogger Umno memainkan peranan penting untuk menurunkan perdana menteri yang lesu," kata Syed Akhbar dalam blognya, semalam.
"Sekarang ini, seluruh negara sedar Najib menjadi lebih teruk daripada Badawi."
Laporan The Malaysian Insider sebelum ini berkata, pemimpin Umno Kedah mendakwa Dr Mahathir mula rasa tidak puas hati dengan pentadbiran Najib berlarutan sejak 4 bulan lalu.
"Ahli parti yang pergi berjumpa beliau sudah pasti akan mendengar kritikannya terhadap bagaimana Najib mengurus keadaan,” kata pemimpin Kedah itu yang tidak mahu dinamakan.
Desakan untuk Najib meletak jawatan bermula pada Januari apabila kenyataan seperti "Najib Kangkung" dan "PM tidak berguna" mula disiarkan di blog-blog pro-Umno seperti Out Syed The Box dan Apanama.
Serangan siber ke atas Najib antara sesama pemimpin Umno sama seperti yang dilakukan terhadap Abdullah pada 2006; blogger sama mengkredit Abdullah kemudiannya terlibat dalam "konspirasi mereka untuk menjatuhkannya."
Pengaruh mereka kemudiannya menurun, dengan penganalisis berpendapat gesaan untuk Najib meletak jawatan tidak terkesan kerana tidak disuarakan orang ramai.
Dalam blog miliknya, Dr Mahathir berkata beliau menarik balik sokongan untuk Najib dan tegurannya kepada pemimpin itu tidak diendahkan.
"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur," kata Dr Mahathir.
Beliau bagaimanapun berkata semalam, kritikannya terhadap Najib bukanlah isu peribadi, dan bukan gesaan supaya pemimpin itu meletakkan jawatan.
"Tidak, saya tidak minta beliau letak jawatan, saya cuma tidak bersetuju dengan polisi beliau," kata Dr Mahathir kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Beliau berkata, Najib terlalu lembut dan lebih suka mendiamkan diri ketika berhadapan dengan masalah.
"Beliau terlalu lembut dengan semua orang, kadangkala tidak respons, senyap... ada masalah tetapi tidak ambil tindakan.
"Beliau tidak buat dengan baik dalam pilihan raya lepas. Saya harapkan beliau buat lebih baik," katanya. – 19 Ogos, 2014.

1 comment:

Unknown said...

macai umno bacul .....!!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive