15 August 2014

Tolak Wan Azizah Bukan Sebab Gender - PAS

Diterbitkan: Jumaat, 15 Ogos 2014 7:27 AM


KUALA LUMPUR: PAS menolak cadangan supaya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PKR sedia maklum dengan pendirian PAS mengenai perkara itu dan alasan menolak cadangan itu telah pun diberitahu kepada PKR secara tertutup.

"Kami tidak bersetuju dengan (cadangan pelantikan) Wan Azizah bukan disebabkan gender," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabat PAS di sini, malam Khamis.

Ditanya sama ada penolakan cadangan berkaitan dengan kelayakan Wan Azizah, Mustafa menjawab tidak sambil menegaskan beliau tidak berhasrat mendedahkan alasan penolakan itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa PAS juga tidak mencalonkan sesiapa daripada parti itu sebagai menteri besar kerana masih berpegang kepada persetujuan bersama Pakatan Rakyat bahawa jawatan itu diberi kepada PKR meskipun PAS mengatasi bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mustafa juga berkata PAS masih belum membuat sebarang keputusan penting berhubung pendirian parti mengenai kemelut menteri besar Selangor kerana perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadual pada 17 Ogos ini.

Mengenai tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah hari ini, Mustafa berkata mereka bertindak sendirian.

"Mereka bukan bertindak atas kapasiti parti. Kita akan menyiasat perkara ini dan untuk berlaku adil, kita akan minta mereka untuk beri penjelasan," katanya.

Mengenai kehadiran empat Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS pada mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor semalam meskipun diminta PKR dan DAP untuk memboikotnya, Mustafa berkata kehadiran Exco berkenaan perlu untuk memastikan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat terus berfungsi.

"Kalau tidak ada empat exco itu, kerajaan negeri akan runtuh. Sebab itu, kehadiran mereka penting untuk pastikan kerajaan Pakatan Rakyat masih ada dan mereka hadir mewakili Exco PKR dan DAP yang dipecat.

"Kita juga lebih pentingkan kebajikan rakyat. Jika mereka tidak hadir, (kerajaan negeri) tidak boleh buat keputusan untuk rakyat," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Penolong Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yaakob.

PAS, PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, Datin Seri Dr Wan Azizah.

1 comment:

Anonymous said...

Kalau bukan atas sebab gender.....atas sebab apa tapa hoi! Taksah lah nak main tarik tali lagi.....ngaku je nkorang nak jawatan tu sebab Pas kuat ade 15 kerusi dan di pimpin oleh ayam ben laDin the menanto. Org berdolak dalik boleh dikatagorikan moon.........k penoh.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive