14 SEPT : Seorang lagi warga Malaysia terkorban ekoran kecederaan parah yang dialaminya sewaktu menyertai peperangan di Syria bagi menentang Presiden Bashar Al-Assad.
Bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Lotfi Ariffin dilaporkan terkorban menerusi akaun Facebook, Abu Talhah II, salah seorang rakyat Malaysia yang turut berperang di Syria.
“Assalamualaikum, perginya seorang sahabat buat diriku, ulama dan mujahid buat ummah ini. Pemergiannya sangat dirasai kepada kami di sini, beliau tempat kami menadah ilmu dan membuat rujukan dalam permasalah ulama,” tulis Abu Talhah di Facebook.
Lotfi sebelum ini dilaporkan cedera parah dan koma selepas dikatakan diserang hendap tentera Al-Assad dalam pertempuran di negara bergolak itu.
Abang sulungnya, Mohd Zainon Ariffin, 53, mengesahkan perkara itu dan berkata keadaan adiknya semakin pulih daripada koma selepas cedera dalam serangan hendap tentera Al-Assad Selasa lalu.
Lofti mencetuskan kontroversi Jun lalu apabila secara terbuka mendedahkan kegiatannya di Syria dengan memuat naik gambar dan klip video di Syria di laman sosial.
Ia menyebabkan PAS bertindak memecatnya dengan menegaskan parti itu tidak pernah mengiktiraf ahlinya untuk berjuang dalam gerakan bersenjata.
Lotfi dikatakan bertekad untuk tidak lagi kembali ke Malaysia dan itu antara pesanannya sebelum berlepas ke Syria
No comments:
Post a Comment