02 September 2014

Saya sedia pertahan Unit Amal - Salahuddin Ayub

alt

KUALA LUMPUR 2 Sept -  Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub sanggup berkorban dengan nyawa demi mempertahankan Unit Amal PAS.

Beliau berkata, Unit Amal PAS merupakan sebuah badan yang berjaya mengharumkan nama parti dan negara menerusi misi kemanusiaan yang dijalankan sejak sekian lama.

"Saya sedia pertahan dengan nyawa saya selagi mana kita yakin mereka menjalankan tugas kebajikan dan bukan aktiviti keganasan," tegasnya memetik laporan portal rasmi PAS. Harakahdaily hari ini.


Beliau menjelaskan, Unit Amal PAS telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila mengerahkan anggotanya membantu mangsa gempa bumi di Pakistan dan Tsunami di Aceh.

Katanya, ketika dalam pemuda, beliau antara yang awal terlibat dalam pemerkasaan Unit Amal sejak ia ditubuhkan 30 tahun dahulu.

"Matlamat asal penubuhan katanya adalah untuk melakukan kerja kebajikan dalam parti, dan khidmat sosial dalam masyarakat umum.

"Sehingga sekarang kita yakin mereka masih di atas landasan yang betul," tegasnya.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, beliau turut bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memberi penjelasan berhubung tugas dan operasi Unit Amal.

"Kita sedia beri kerjasama kepada polis. Saya harap Zahid boleh panggil saya sendiri bila-bila masa," tegasnya.

Beliau berkata demikian bagi membidas Zahid semalam yang melahirkan keyakinan bahawa anggota Unit Amal PAS turut akan ditahan seperti 156 anggota Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) Pulau Pinang.

Zahid berkata, penahanan anggota PPS dibuat kerana beliau turut menerima laporan bahawa mereka turut memukul orang dan melakukan tindakan yang melanggar Perlembagaan termasuk mengambil tugas polis.

Zahid, tangkap saya dahulu - Ketua Pemuda PAS

Saya tak nampak kenapa kerajaan mahu ambil tindakan
Suhaizan KaiatPETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menangkapnya jika ingin mengambil tindakan terhadap Jabatan Amal.
Menurut Suhaizan, Jabatan Amal adalah tanggungjawabnya selaku Ketua Pemuda PAS.
“Jika nak ambil tindakan pada Jabatan Amal, tangkap saya dahulu,” gesa Suhaizan kepada Zahid Hamidi.
Suhaizan, melalui status Facebooknya, mengulas mengenai kenyataan Zahid sebelum ini yang menyatakan bahawa Jabatan Amal Pemuda PAS juga akan dikenakan tindakan oleh pihak polis seperti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang.
“Saya tegaskan Jabatan Amal adalah badan kebajikan di bawah pemuda PAS yang menguruskan kebajikan dan bantuan kemanusiaan.
“Saya tak nampak kenapa kerajaan mahu ambil tindakan. Jabatan Amal telah menjalankan tugas selama lebih 20 tahun dan adakalanya kita bekerjasama dengan pihak polis dan agensi kerajaan, tiba-tiba sekarang mahu dipersalahkan pula,” jelasnya yang tidak faham dengan tindakan Zahid.
Tambahnya, beliau meminta Zahid agar memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya terhadap Jabatan Amal Pemuda PAS Malaysia
Sementara itu kata Suhaizan, para peguam dalam Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) telah bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan jika tindakan undang-undang diambil terhadap Jabatan Amal.
“Kes-kes mahkamah sebelum ini jelas memihak kepada para petugas Amal apabila mereka dibebaskan dari sebarang tuduhan kerana Jabatan Amal dibawah urusan parti yang sah disisi undang-undang,” ujarnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive