17 October 2014

Alahai Shahidan ...

Alahai Shahidan...
KENYATAAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim baru-baru ini mengenai kedudukan gaji Ahli Parlimen di Malaysia sehinggakan mereka terpaksa "ikat perut" mengundang pelbagai reaksi rakyat.
Malah kenyataan Ahli Parlimen (MP) Arau itu dengan cepatnya menjadi viral di dalam media sosial dan mendapat pelbagai komen negatif dan positif dari kalangan pengguna medium komunikasi itu.
Dengan kenyataan Shahidan yang menyebut gaji MP sebanyak RM6500.00 itu adalah rendah berbanding MP di Singapura malah lebih rendah dari MP di Uganda, wujud pula 'posting' yang menjawab dakwaan Shahidan dengan pendedahan gaji para menteri dan timbalan menteri di Malaysia.
Sasarannya mungkin ditujukan kepada Shahidan sendiri ekoran kenyataannya itu. Maka angka yang dikeluarkan bagi setiap MP yang juga berjawatan Menteri, maka gaji bulanan mereka adalah sekitar RM21,000.
"Mana mungkin Menteri (yang juga MP) bergaji RM21,000 kena ikat perut. Itu belum dicampur elaun dan kemudahan lain," sanggah rakyat kebanyakan bila mendapat tahu fakta ini.
Seorang sahabat berseloroh dengan penulis bahawa Shahidan sendiri mungkin sudah lupa bahawa selain sebagai MP Arau, beliau sendiri juga seorang MP di Perlis.
MP yang dimaksudkannya ialah "Makan Pencen" yang bermakna Shahidan kini turut menikmati pencen sebagai bekas Menteri Besar Perlis selama tiga penggal dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang selama empat penggal.
Penulis berkira-kira pencen yang beliau nikmati setiap bulan adalah sekitar RM9000 dan jika dicampur dengan gaji semasa (RM21,000) maka jumlahnya adalah RM30,000.
Baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjungi negara jiran dalam program Kembara Korban bersama NGO Yayasan Pembangunan Ummah ke Wilayah Satun di Selatan Thailand.
Di sana, peserta kembara disambut oleh tokoh politik dan gerakan Islam tempatan, Ustaz Amin Menjamin. Beliau ialah bekas wakil rakyat dan Speaker Dun di sana.
Dalam perbualan larut malam itu, kami banyak belajar tentang politik di negara jiran itu. Antara yang mengejutkan kami, beliau berkata ahli politik di Thailand tidak ada peluang untuk mengumpul kekayaan.
"Jadi wakil rakyat atau Speaker Dun di sini mana ada elaun atau gaji. Pencen pun tak ada," jelas beliau.
Kenyataan itu amat kontradik dengan amalan yang berlaku di Malaysia. Rakyat Malaysia sejak sekian lama melihat wakil rakyat sama ada Adun atau MP adalah golongan berstatus tinggi dengan kehidupan yang senang-lenang.
Kita di Malaysia sering mendapat khabar bahawa si polan itu, wakil rakyat yang kaya-raya dengan projek kerajaan, saham, perniagaan dan sebagainya.
Wakil rakyat tanpa mengira dari pihak kerajaan atau pembangkang adalah tempat mengadu untuk rakyat merintih seringgit-dua bila dalam keadaan sesak berbelanja.
Bagi Shahidan pula (terutamanya rakyat Perlis), siapa yang tidak kenal dengan sifat pemurah beliau. Seorang pemimpin yang akan turun ke pasar minggu, pasar malam atau bazar Ramadan dan berbelanja besar untuk dihadiahkan kepada pengunjung.
Penulis juga teringat pengumuman di radio Perlis FM baru-baru ini yang menyebut program korban 60 ekor lembu sumbangan Shahidan. Teringat pegawai khas beliau dengan mudahnya menyumbangkan RM50 kepada peserta demonstrasi menuntut keadilan mangsa bajir beberapa tahun lalu.
Inikah contoh MP yang ikat perut?
Kalau Shahidan betul-betul mahu melihat MP yang ikat perut kerana rakyat, lihatlah wakil rakyat pembangkang. Semasa beliau menjadi Menteri Besar, tiga wakil rakyat PAS dinafikan sebarang peruntukan, malah hampir tidak mempunyai ruang untuk mereka berfungsi dengan baik selaku Adun yang dipilih oleh rakyat.
Keadaan itu agak berbeza ketika beliau hanya menjadi Adun biasa kerana ruang yang lebih terbuka diberikan penggantinya (walaupun tanpa peruntukan). Itupun Shahidan sering mengomel-ngomel pada setiap kali sidang Dun menyatkan dia sendiri seolah-olah dianaktirikan oleh pemimpin BN negeri pada masa itu.
Banyak lagi yang boleh ditulis tentang Shahidan. Cuma penulis masih tertanya-tanya, adakah hasil penjualan saham Bernas dahulu sudah habis dibelanjakan beliau?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive