07 October 2014

Oktoberfest : Tiada agama yang menggalakkan ‘kemabukan

Pandangan bahawa ia perlu dibenarkan kerana ia merupakan hak warga yang bukan Islam adalah kurang tepat dan mengelirukan.
beer-girlKUALA LUMPUR: Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan menyatakan bantahan terhadap promosi penggunaan arak yang dilakukan oleh segelintir pihak dengan menganjurkan program ‘Oktoberfest’.
“Untuk perhatian masyarakat, asal usul ‘Oktoberfest’ ini adalah dari negara Jerman. Ia merupakan satu pesta meraikan perkahwinan diraja,” lapor portal rasmi PAS.
Katanya, pandangan bahawa ia perlu dibenarkan kerana ia merupakan hak warga yang bukan Islam adalah kurang tepat dan mengelirukan.
“Wujudkah agama yang membenarkan penganutnya hidup di bawah pengaruh alkohol atau pun membenarkan penganutnya mabuk?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
Ujar beliau lagi, sama ada Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain agama mahukan penganutnya hidup dengan penuh kesejahteraan.
“‘Kemabukan’ yang bermakna hilangnya fungsi akal adalah amat-amat dilarang dalam mana-mana agama,” katanya.
Ujarnya lagi, justifikasi yang mengatakan bahawa ia perlu dibenarkan bagi mereka yang bukan beragama Islam adalah tidak berasas sama sekali.
Begitu juga, katanya apabila mudarat arak ditinjau dari sudut sains, kesihatan, keselamatan mahu pun sosial.
Tegasnya, ia jelas mengundang lebih banyak mudarat dari manfaat yang boleh diperolehi masyarakat.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber alam jika diurus dengan penuh amanah tidak perlu bergantung dengan hasil cukai dari jualan arak.
ABIM juga merakamkan kekesalan apabila pihak penganjur beria-ia menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan pembelian arak yang boleh menjurus kepada kemudaratan.
Tambahnya, penganjuran ‘Oktoberfest’ ini jelas datang dari mereka yang terjajah pemikirannya dengan acuan Barat yang cuba membawa pengaruh buruk budaya kehidupan Barat secara membuta tuli tanpa keupayaan menyaring yang betul dan baik.
“Keadaan ini memberi gambaran bahawa wujud ketempangan dalam pertimbangan pemimpin, ahli politik, penganjur dan mereka yang terlibat sebagai peserta,” ujarnya.
Beliau menegaskan, ABIM membantah penganjuran majlis ini bukan sahaja dari sudut Islam sebagai agama kesejahteraan, tetapi juga atas nilai manusia sejagat yang seharusnya menjunjung tinggi ‘kewarasan’ akal dan membenamkan segala usaha mempromosi gaya hidup yang tidak wajar dalam kalangan masyarakat.

1 comment:

Anonymous said...

Kolid samad kata xper...janji bkn kaw majoriti islam....bila 711 jual arak kt kaw majoriti islam pun kolid samad kata xper...
Tulah bila tafsir agama ikut akal...konon dh baca 2 3 kitab dah blh jd ulamak...progressive, moderate, open, dinamik...hasilnya...islam liberal dan sekular mengikut acuan dap.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive