22 November 2014

Lagi suspek terlibat IS termasuk 2 perempuan ditahan


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang semalam kerana disyaki terlibat aktiviti kumpulan pengganas di Syria. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua suspek yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, berumur di antara 28 hingga 34 tahun.



Beliau berkata suspek pertama berusia 34 tahun itu merupakan isteri kepada individu yang telah dituduh pada 11 Nov lepas atas kesalahan menghasut, menggalak atau memperolehi harta bagi perlakuan tindakan keganasan, kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Nov lalu, seorang perunding kewangan didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan militan Islamic State (IS) melalui blog Revolusi Islam.com sejak Mac lepas.

Rohaimi Abd Rahim, 37, didakwa melakukan perbuatan itu di No.5B, Jalan Raja Ali, Kampung Baru di Kuala Lumpur antara 29 Mac hingga 13 Okt lepas.

Manakala suspek kedua wanita berumur 28 tahun bekerja sebagai 'event manager' di Kuala Lumpur.

Suspek ketiga lelaki berusia 33 tahun, bekerja sebagai penolong eksekutif di salah sebuah badan berkanun.

"Kesemua mereka disyaki terlibat mengendalikan beberapa akaun Facebook yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan IS di Syria.

"Selain itu, mereka juga disyaki terlibat kegiatan pengumpulan dana yang mempunyai kaitan dengan penghantaran rakyat Malaysia ke Syria menyertai kumpulan IS," kata Khalid.

Menurut beliau, mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa, kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive