(Oleh: Ermizi Muhamad)
KUALA LUMPUR 12 NOV : Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menyelar penggunaan nombor pendaftaran kenderaan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bercakap di sidang media di Lobi Parlimen hari ini, Lim mendedahkan dua kenderaan milik Menteri dan Timbalan Menteri dengan nombor pendaftaran WYU 818 dan WSW 505 yang menurutnya tidak mengikut garis panduan ditetapkan.
“Hari ini, dua kenderaan milik seorang Menteri dan Timbalan Menteri cukup mengelirukan. Merujuk kepada nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan ini, bagaimana kereta seorang Ahli Parlimen boleh berbuat demikian?
“Kita ambil contoh nombor pendaftaran, WYU 818 ini memang mengelirukan pengguna jalan raya yang lain. Adakah ia WYU 818 atau WYU 88? Dan contoh yang kedua, WSW 505 ini adakah ia W5W 818?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kenyataan Pengarah JPJ sebelum ini yang akan mengadakan operasi besar-besaran untuk menyaman mana-mana kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kalau JPJ nak buat sekatan jalan raya, mereka boleh datang ke Parlimen dan saman kenderaan menteri,” sindirnya namun tidak mendedahkan nama menteri terbabit.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bakri turut menegaskan JPJ juga perlu memberi kesamarataan dalam menjalankan tugas tanpa cuba melindungi mana-mana pihak.
“Ketelusan daripada JPJ juga kita mahukan dalam soal ini. Aspek kesamarataan untuk menyaman mana-mana individu yang menyalahi undang-undang.
“Selain itu, JPJ juga perlu memberi tumpuan kepada aspek-aspek kesalahan yang lain dan tidak terhad kepada soal nombor pendafraran sahaja misalnya dalam soal lesen memandu dan cukai jalan,” jelasnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=64027
1 comment:
No. plet tak ikut undang2 - Menteri?..KP JPJ? sapa nak saman!!. Yang kena saman adalah rakyat yg dpt BRIM saja.
Post a Comment