28 November 2014

Pampasan RM2.6 juta hanya dibawa ke Selcat jika semua pihak setuju

pada 28-11-2014 03:11 Ditulis Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic

SHAH ALAM: Kontroversi isu pampasan bernilai RM 2.6 juta melibatkan bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) selepas selesai sidang DUN kali ini.
Namun menurut Speaker DUN Selangor yang juga Pengerusi Selcat, Hannah Yeoh isu tersebut hanya akan disiasat sekiranya jawatankuasa yang lain bersetuju dan keputusan itu akan diumumkan ketika sidang DUN yang akan bermula pada Mac tahun depan. 
"Kami mempunyai peraturan tetap semasa sidang dewan berjalan jawatankuasa pilihan (Selcat) tidak boleh bermesyuarat.
"Oleh itu jawatankuasa Selcat akan bertemu dan bermesyuarat selepas sidang dewan. 
"Kami akan bermesyuarat dan akan membuat keputusan samada kami akan menyiasat perkara ini atau tidak. Tetapi kami memang bersedia untuk melihat kes ini, samada kita nak jalankan penyiasatan itu terpulang kepada jawatankuasa Selcat yang dipengerusikan oleh saya sendiri," katanya pada sidang media di Lobi SUK sebentar tadi.
Beliau menjangkakan perbincangan itu diadakan pada Disember ini.
Semalam Menteri Besar Azmin Ali memberitahu bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai masalah sekiranya Laporan Audit Negara mahu menyiasat mengenai bayaran pampasan jika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor memberi kebenaran. 
Terdahulu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah MBI, meluluskan peruntukan sebanyak RM2.6 juta kepada lapan pegawainya.
Antara yang menerima pampasan tersebut adalah bekas Ketua Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima hampir RM700,000 sementara setiausaha akhbar Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz menerima sejumlah RM400,000 manakala setiausaha politiknya pula, Mustapa Mohd Talib menerima pampasan bernilai RM265,000.
Dalam sidang media yang sama Hannah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan membincangkan mengenai bayaran tunggakan gaji ADUN-ADUN yang pernah digantung sebelum ini.
Hal ini dibincangkan sebagai menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 November lalu, yang mengarahkan Parlimen membayar gaji dan imbuhan yang ditahan dari ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo semasa beliau digantung selama setahun pada 2009. 
"Kesediaan DUN membayar gaji bekas-bekas ADUN yang (pernah) digantung tanpa gaji, memandangkan kes Gobind Singh di Mahkamah Persekutuan. Beliau telah menang kes tersebut bahawa beliau memang mempunyai hak untuk mendapatkan gaji.
"Pihak eksekutif semalam seperti yang dijawab oleh MB, eksekutif memang bersedia untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi keputusan ini perlu dibuat oleh legislatif bukan eksekutif. Oleh sebab itu MB kata akan memulangkan kes ini kepada legislatif untuk dikaji.
"Jawatankuasa yang patut mengkaji adalah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, sama seperti Selcat. Kami hanya boleh bermesyuarat selepas sidang DUN tamat," beliau menambah keputusan perbincangan ini juga akan diputuskan dalam sidang DUN pada Mac.
Antara ADUN yang pernah digantung adalah ADUN Sg Pinang Datuk Teng Chang Kim, bekas ADUN Sg Panjang Dr Khir Toyo, bekas ADUN Batang Kali Isa Abu Kasim, bekas ADUN Seri Serdang Datuk Satim Diman, bekas ADUN Sabak Datuk Warno Dogol, bekas ADUN Dengkil Datuk Marsum Paing dan bekas ADUN Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive