17 January 2015

Artis K-Pop & Shah Rukh Khan

Oleh TOK PERAK


ADA ketikanya perkara kecil menjadi besar. Apabila ada viral beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium artis K-Pop, heboh 1Malaysia. Pagi-petang siang-malam kecoh sakan, sana-sini mencemuh.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meminta gadis terlibat tampil membantu siasatan. Kata Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya, sekiranya gadis berkenaan tidak tampil, perintah mahkamah akan dikeluarkan kepada mereka.





Gadis-gadis tersebut disiasat di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Maka, viral di media sosial yang hanya beberapa saat itu, membuat semua orang tidak habis-habis bercerita, seolah-olah insiden gadis dipeluk dan dicium itu lebih teruk dari bah besar yang melanda pantai timur...
 
*ADA ketikanya perkara besar menjadi kecil, dan tidak dipedulikan. Seperti yang diketahui umum perihal orang berkelakuan tidak sopan di tempat awam, sudah terjadi sejak sekian lama.

Sepatah kata pelakon dan pelawak terkenal Adibah Noor dalam Twitter: “Saya pernah lihat para isteri orang, makcik-makcik meraba dan mengucup para artis lelaki tempatan.”

Dalam pada itu peguam terkenal dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata, kejadian berpelukan juga berlaku semasa satu persembahan konsert oleh bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan.

Kata Zaid dalam Twitter, pihak berkuasa agama tidak bertindak kerana acara tersebut dihadiri orang kenamaan. “Anak muda nak bergembira sikit heboh seluruh negara. Apa pengawasan ke atas orang atasan?”
 
*TIDAK kira kecil atau besar, orang Islam bersentuhan dengan yang bukan muhrim tetap haram. Itu tidak boleh dipertikaikan. Dan menjadi kewajipan pihak berkuasa agama untuk mencegah perkara mungkar itu.

Cuma, yang menjadi tanda tanya, mengapa hanya bersemangat bertindak terhadap gadis memeluk lelaki Korea? Kenapa wanita yang memeluk hero Hindustan tidak diambil tindakan?

Baru-baru ini dalam satu rancangan realiti TV, seorang peserta wanita – isteri orang, seksi pula! – telah dengan megah memeluk suami orang di hadapan penonton. Apa agaknya pandangan para ulama dan pihak berkuasa agama terhadap perkara tersebut?

Benda mungkar perlu dibanteras. Tetapi mesti kena caranya. Maka saya bersetuju dengan pandangan Menteri Komunikasi & Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa gadis-gadis yang memeluk artis Korea itu patut diberi kaunseling, bimbingan, dan tidak perlu ditakut-takutkan dengan tindakan mahkamah.
 
*ADA ketikanya perkara besar, dibesar-besarkan lagi, akhirnya menjadi kecil. Contoh: isu balak. Semenjak dua menjak ini semua orang bercakap dan marah-marah tentang pembalakan haram yang terjadi di Kelantan.

Antara yang paling lantang bercakap mengenai penyelewengan dalam isu balak di Kelantan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Beliau mendakwa, seperti yang dilaporkan media, mempunyai bukti dan bersedia mendedahkan nama mereka yang terbabit.

Sebagai reaksi terhadap kenyataan menteri berkenaan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan aktiviti pembalakan.

“Tak apa. Sila-sila... kita di Kelantan dari dulu lagi sedia (untuk disiasat). Kita buka 25 jam, bukan 24 jam untuk siasatan,” katanya seperti yang disiar media.

Harap-harap isu balak di Serambi Makkah segera diambil tindakan. Jangan cakap berdegar-degar tetapi tidak ada tindakan. Seperti yang terjadi pada isu pembalakan haram dan penerokaan tanah haram di Cameron Highlands. Semua bercakap untuk bertindak, tetapi sampai sekarang masih tidak ada apa-apa. Cakap besar, tindakan kecil.
 
*AKHIR kalam, peguam kanan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah hairan mengapa Koperal Sirul Azhar Umar boleh ke luar negara dan tidak kembali ke Malaysia semasa Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Masih ingat kes Alvin Tan, pemblog seks yang pasportnya dipegang mahkamah, tetapi dia berjaya ke luar negara, tidak pulang-pulang sampai sekarang, dan kita hanya ternganga, tidak berbuat apa-apa. Ini pun menghairankan... - Detikdaily

1 comment:

Anonymous said...

Undang² manusia ni umpama sawang labah². Yang kecik² macam semut ka, nyamuk ka sangkut la. Cuba mai burung helang tenok. Mau ranap sarang tu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive