17 January 2015

Kegagalan gabungan bank mega rahmat untuk rakyat


Kegagalan gabungan bank mega rahmat untuk rakyat
Akhirnya secara rasmi petang Rabu lalu, usaha menggabungkan CIMB-RHB-Malaysia Building Society Berhad (MBSB) menjadi bank terbesar negara dengan aset sejumlah RM613.7 bilion dalam usaha mengatasi Maybank Bhd yang memiliki RM578 bilion sekali gus menjadikan ia gergasi bank keempat terbesar di rantau Asia Tenggara ditamatkan atau dengan kata lain berakhir dengan kegagalan.
Lebih menarik selepas berita mengenai kegagalan pelan penggabungan itu diumumkan saham CIMB serta RHB keesokan harinya naik mendadak seakan memberikan petunjuk pemain saham tidak gembira dengan cadangan penggabungan itu yang bermula pada awal Oktober tahun lalu dan menyambut baik kegagalan pelan penggabungan itu.
Walaupun penggabungan CIMB-RHB-MBSB itu akan membentuk bank Islam mega dengan menghasilkan pasaran modal berjumlah RM88.4 bilion berdasarkan kadar pegangan dan keuntungan bersih RM7 bilion mengatasi Maybank yang berjumlah RM6.55 bilion tetapi masih banyak kesan serta persepsi negatif terhadap pelan berkenaan yang dilihat begitu tergesa-gesa.
Saya pernah menulis artikel mengenai penggabungan ini pada 28 Oktober lalu bertajuk ‘Pembentukan bank mega, kepentingan negara?’ yang disiarkan portal berita ini bagi memberikan sudut pandangan berbeza supaya kerajaan berhati-hati dalam membuat keputusan membenarkan penggabungan ini.
Disebabkan itu juga saya dijemput untuk Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya menghadiri forum untuk pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bertajuk ‘CIMB mega merger’ bagi memberikan pandangan saya terhadap penggabungan berkenaan pada pertengahan Disember lalu.
Tidak dinafikan sesetengah pihak begitu teruja dan yakin penggabungan ini akan menjadi satu kenyataan malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan lawatan ke Abu Dhabi Oktober lalu juga secara terbuka menyokong penggabungan berkenaan yang diketuai adiknya, Datuk Seri Nazir Razak selaku Pengerusi CIMB.
Namun seperti kata pepatah Melayu ‘harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, kejatuhan harga minyak dunia dengan begitu mendadak bermula sejak pertengahan Disember lalu hingga ke paras terendahnya minggu ini, diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai ringgit paling teruk sejak krisis kewangan 1997 berbanding US dollar menyebabkan sudah timbul ‘bunyi-bunyi’ penggabungan berkenaan akan dibatalkan.
Kejatuhan harga saham CIMB dan RHB memaksa pengurusan CIMB dan RHB terpaksa kembali mengadap Lembaga Pengarah masing-masing sama ada mahu meneruskan semula penggabungan ini.
Ini kerana jumlah wang yang ditawarkan bagi membolehkan urusniaga penggabungan berkenaan itu menjadi kenyataan amat jauh lebih tinggi berbanding dengan nilai saham ketiga-tiga entiti bank di Bursa Malaysia ketika ini.
Pelan penggabungan berkenaan mengambil kira nilai saham CIMB pada harga RM7.27 sen sesaham dan RHB Cap pada nilai RM10.03 sen sesaham tetapi nilai saham CIMB selepas pengumuman penggabungan berkenaan pernah berada pada paras harga sekitar RM5.90 sen sesaham manakala RHB Cap pada harga RM7.80 sen sesaham.
Lebih teruk sejak pengumuman penggabungan CIMB-RHB-MBSB pada 9 Oktober lalu, saham bank kedua terbesar negara itu merosot sehingga 26% dan menyebabkan pemilik saham RHB Cap terutama sekali syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi, Aabar Investment PJS yang membeli saham RHB Cap pada harga RM10.80 mempunyai sebab kukuh untuk tidak bersetuju dengan penggabungan berkenaan.
Pada masa sama, ramai juga yang melihat kepada fungsi MBSB itu sendiri yang pemegang terbesar sahamnya adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam meneruskan tanggungjawab serta fungsi utamanya bagi membantu rakyat yang tidak mampu mendapatkan pinjaman daripada bank komersil.
Walaupun, MBSB tidak mempunyai kata putus yang utama dalam memberikan keputusan mengenai penggabungan ini, kerana dikuasai KWSP sebanyak 65% yang juga memegang saham sebanyak 14.5% dalam CIMB dan 41.5% dalam RHB Cap, tetapi perlu diingatkan pencarum KWSP yang sebenar adalah rakyat Malaysia melalui caruman mereka.
Justeru sebagai pemegang amanah terhadap wang rakyat Malaysia yang dicarumkan dalam KWSP, adalah amat penting bagi pengurusan tertinggi KWSP membuat keputusan dengan tepat, bijak serta waras dalam meneruskan penggabungan ini.
Bukan satu rahsia lagi, MBSB yang tidak berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah bank komersil amat bergantung pendapatan mereka terhadap pinjaman perumahan, kenderaan serta peribadi yang majoritinya kepada kakitangan kerajaan.
Dalam berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, pekerja di negara ini tidak kira daripada sektor awam atau swasta sudah pasti berdepan dengan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada bank komersil.
Ini ditambah lagi dengan keputusan Bank Negara Malaysia yang mengarahkan semua bank komersil mengetatkan prosedur pinjaman masing-masing bagi mengelakkan berlakunya pinjaman tidak berbayar (NPL) yang boleh mengakibatkan peminjam berdepan dengan situasi diisytharkan bankrap.
Jadi sudah pasti golongan pekerja ini mengharapkan pinjaman daripada bank bukan komersil seperti MBSB yang tidak terikat dengan undang-undang Bank Negara bagi memberikan pinjaman kepada mereka.
Malah, jika diteliti portfolio perniagaan MBSB itu sendiri, pinjaman peribadi adalah penyumbang kedua terbesar pendapatan syarikat berkenaan selepas pinjaman perumahan dan ia membuktikan betapa begitu ramai pekerja terutama sekali kakitangan awam meminjam daripada syarikat ini.
Pertumbuhan pesat pembiayaan peribadi MBSB ini sebenarnya disumbang melalui keyakinan syarikat terhadap skim potongan gaji melalui Angkasa yang menjamin pinjaman mereka sentiasa berbayar tidak seperti bank komersil yang tidak mempunyai kemudahan berkenaan.
Atas sebab itu, KWSP harus berhati-hati dengan cadangan meneruskan penggabungan berkenaan tatkala Malaysia sedang berdepan dengan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit di peringkat antarabangsa.
Ini kerana jika entiti MBSB ini ‘ditelan’ dalam penggabungan bank berkenaan yang kemudian memaksanya menjadi sebuah bank komersil, apakah nasib yang bakal dihadapi peminjam-peminjam yang terdiri daripada kakitangan awam ini.
Mereka sudah pasti tidak akan dapat lagi membayar melalui potongan gaji Angkasa sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan NPL sekali gus meningkatkan lagi hutang isi rumah Malaysia.
Ketika ini, hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 86.8% pada akhir 2013 berbanding pertengahan tahun yang sama hanya 82% dan 80.5% pada tahun 2012 dengan kadar hutang isi rumah ini adalah yang tertinggi di Asia.
Justeru kerajaan seharusnya menjangkakan situasi ini yang menyebabkan peningkatan kadar hutang isi rumah akibat daripada NPL peminjam MBSB ini yang tidak lagi boleh membayar pinjaman mereka secara tetap melalui potongan gaji melalui Angkasa.
Selain itu ia juga secara tidak langsung boleh mengakibatkan sokongan politik kepada kerajaan BN juga menurun disebabkan kegagalan Putrajaya yang membenarkan penggabungan MBSB melalui KWSP, menjerumuskan kakitangan awam kepada situasi muflis atau disenaraihitamkan.
Ini kerana kemudahan potongan gaji melalui Angkasa adalah antara keistimewaan yang dinikmati kakitangan awam selama ini dengan boleh meminjam tanpa perlu terikat dengan peraturan Bank Negara melalui institusi kewangan seperti MBSB yang tidak dinikmati pekerja swasta.
Atas sebab itu, kejatuhan nilai ringgit dan harga minyak dunia mungkin satu rahmat kepada peminjam MBSB yang memungkinkan menjadi sebab penggabungan CIMB-RHB-MBSB tidak akan berjaya.
Pembatalan pelan penggabungan ini juga mungkin menyebabkan kelegaaan terhadap pemegang saham CIMB dan RHB kerana MBSB juga berkemungkinan akan menerima padah akibat portfolio pinjaman peribadinya yang diberi tanpa cagaran kepada berpuluh ribu kakitangan dan pegawai kerajaan.
Saya dimaklumkan bahawa ada kemungkinan NPL berjumlah berbillion ringgit akan berlaku apabila bayaran balik bulanan minima yang patut dibayar mengikut kontrak pinjaman dengan MBSB dinaikkan tahun depan.
Ini juga satu kemungkinan besar risiko NPL MBSB menjadi salah satu sebab penggabungan berkenaan berdepan dengan jalan buntu sehingga gagal diteruskan.
Perancangan manusia sudah semestinya tidak akan dapat mengatasi kuasa tuhan dan ketika semua pihak sama ada di Putrajaya serta pengurusan CIMB dan KWSP seakan pada mulanya begitu yakin penggabungan ini akan berjaya kini, terpaksa akur terhadap tuntutan ekonomi pada masa sekarang yang tidak menguntungkan ketiga-tiga bank berkenaan bergabung.
Ia juga boleh diibaratkan satu tindakan menyelamat kerajaan BN daripada terus dihentam rakyat yang akan berdepan dengan pelbagai masalah terutama sekali peminjam MBSB apabila tidak lagi dapat menikmati kemudahan serta keistimewaan sedia ada selepas institusi kewangan ini ‘ditelan’ dalam penggabungan ini.
Akhirnya pengurus aset kerajaan seperti Khazanah dan KWSP dalam ketiga tiga bank berkenaan perlu sentiasa diingatkan mengenai tanggungjawab mereka mentadbir wang rakyat untuk kepentingan negara dan bukan untuk diri sendiri. – TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive