21 January 2015

Sirul ditahan di Australia


Sirul Azhar Umar satu dari dua tertuduh kes bunuh Altantuya Shaariibuu, ditahan Selasa malam (waktu Malaysia) di Queensland Australia.
Sirul yang berdepan hukuman mati selepas didapati bersalah ditahan oleh pasukan imigresen Australia.
Media Australia melaporkan, Sirul kini dilokap di pusat tahanan di Brisbane sehari selepas polis antarabangsa Interpol mengeluarkan notis merah ke atasnya.
Sebelum ini dilaporkan Australia tidak akan memenuhi permohonan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang Sirul kerana ia melibatkan hukuman mati.
Kenyataan Jabatan Peguam Negara Australia menyebut, permohonan itu hanya akan dipenuhi sekiranya Malaysia berjanji untuk tidak menjalankan hukuman mati tersebut.
Sirul, tertuduh kedua kes pembunuhan Altantuya tidak hadir ke pendengaran akhir kesnya di Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu kerana dikatakan “tidak cukup wang” untuk pulang dari Australia.
Mahkamah Persekutuan pada hari itu menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati melakukan perbuatan itu sembilan tahun lalu.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu selepas membenarkan rayuan mereka.
Bagaimanapun timbul masalah untuk hukuman dijalankan ke atas Sirul apabila undang-undang ekstradisi menyatakan  bahawa Australia tidak akan memenuhi permintaan penghantaran pulang bagi individu berdepan hukuman mati.
Malaysia juga dilapor mungkin membawa kes Sirul ke mahkamah Australia jika negara itu enggan mengekstradisinya.
Peguam Sirul pula berkata akan memfailkan saman di Kuala Lumpur untuk mencabar perkara itu.-21/1/2015 - AGENDA DAILY

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive