21 February 2015

Hanya di Malaysia, Isis serang pakai mercun


 Hanya di Malaysia, Isis serang pakai mercun
Saya tergelak sakan apabila seorang kawan menunjukkan sebuah video dari "Isis Malaysia 69" tentang "ancaman" mereka untuk menyerang mahkamah.
Menurut mereka yang memakai balaclava dengan merakam video gaya Isis, mereka akan membakar mercun di mahkamah pada 11:30 malam 18 Februari 2015, sebagai bantahan kepada sistem demokrasi "kerajaan yang telah terlalu lama memerintah" ini.
Kali kedua saya menonton video ini, sekali lagi saya terbarai gelak. Pada malam itu adalah malam Tahun Baharu Cina yang memang sudah menjadi budaya masyarakat Tionghua untuk membakar mercun untuk menyambut hari kebesaran masyarakat itu.
Saya fikir, kalaulah benar mereka merancang perkara itu, sudah pasti ramai juga orang sedang bermain mercun pada malam itu.
Sudah pasti ia menjadi lebih sukar memandangkan suspek yang akan melakukan pembakaran mercun itu sudah menjadi semakin ramai.
Kali ketiga saya menonton video ini, saya merasakan perbuatan ini sebagai "troll" dan mereka ini sebenarnya sedang menguji sejauh mana masyarakat kita ini boleh ditroll.
Dan apabila ia sudah dilaporkan dalam berita, dan Ketua Polis Negara pun sudah keluar kenyataan bahawa mereka sedang menyiasat perkara ini, saya menggeleng-gelengkan kepala tanda saya tidak faham mengapa ugutan ini dianggap serius sehingga dikatakan mengancam keselamatan negara.
Dianggap serius sehingga menangkap dua orang yang didakwa terlibat, dan pihak berkuasa bersungguh-sungguh mencari siapa di belakang tabir video ini.
Lebih kelakar lagi apabila tukang troll itu menggunakan gambar Nora Danish, selebriti terkenal yang berlakon filem dan drama Melayu, sambil memberi ucapan bahawa anak muda kini tidak percaya lagi pada demokrasi dalam negara ini.
Gabungan meletakkan gambar selebriti terkenal Melayu yang kemudiannya terus melatah, nama "Isis Malaysia 69", menggunakan isu Anwar Ibrahim yang disabit kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan, serta menggunakan mercun pada malam Tahun Baru Cina, diadun dan digaul dengan sebati untuk menjadi video yang akan viral ke seluruh negara.
Bila sudah viral, dalam zaman media sosial ini, dalam masa sekejap sahaja maklumat sudah tersebar di Facebook, Twitter, Whatsapp dan YouTube, maka ia lebih berkesan lagi untuk seluruh masyarakat dijadikan bahan kajian sosial disamping menjadi bahan jenaka oleh kumpulan ini.
Tak rasa kelakar ke bila laporan berita mengatakan kumpulan ini akan menyerang mahkamah dengan mercun?
Sebuah institusi kerajaan berdaulat yang setiap tahun membelanjakan berbilion ringgit untuk pertahanan dan keselamatan, boleh cuak dengan tiga empat orang yang nak menyerang mahkamah dengan mercun?
Dengan ketua polis yang cepat melatah di media sosial, dengan selebriti yang juga cepat melatah, dan dengan kebanyakan penkomen di YouTube juga melatah dengan 'holier-than-thou' mereka, mereka yang membuat video ini sebenarnya mungkin sedang bergelak ketawa melihat "lawak serius" yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini.
Hari ini saya melihat orang ramai di negara ini sebagai "golongan yang terlalu serius dalam semua hal", kerana bagi masyarakat, lawak cuma pertandingan lawak slapstik yang disiarkan secara langsung setiap malam Jumaat.
Saya fikir jika benar mereka akan membaling mercun ke mahkamah pada waktu yang disebut itu, saya fikir tidak ada siapa yang akan tercedera atau terkorban, tidak ada kerosakan struktur bangunan mahkamah serta sistem kehakiman negara ini masih tidak akan jatuh.
Jadi, tak perlulah rasa seolah-olah ini adalah ugutan dari pihak Isis yang selama ini memancung orang di hadapan video.
Seperti yang pernah dikatakan oleh Joker lakonan mendiang Heath Ledger dalam filem The Dark Knight, "why so serious?"
Saya rasa masyarakat lebih baik ambil serius tentang kenyataan seorang ustaz muallaf yang lebih Melayu dari Melayu mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dan kurang ajar dengan wanita.
Kerana bagi saya, ustaz-ustaz yang sebegini, jauh lebih berbahaya berbanding tiga empat anak muda yang melawak dari kebosanan akibat keseriusan masyarakat ini, dan sudah tidak percaya lagi dengan demokrasi di negara ini. – TMI/MC

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive