22 February 2015

Sirul hidupkan kembali ‘hantu Altantuya’


Sirul hidupkan kembali ‘hantu Altantuya’
Walaupun sudah hampir 9 tahun Altantuya Shariibuu dibunuh, perbicaraan di mahkamah sudah selesai dan hukuman sudah dijatuhkan, nama warga Mongolia itu terus menjadi sebutan.
Esok salah seorang pembunuh Altantuya, Sirul Azhar Umar dikatakan akan membuat telesidang selama 15 minit secara langsung dari Australia bersama media Malaysia.
Mungkinkah identiti “orang penting yang mempunyai motif agar Altantuya dibunuh” akan didedahkan Sirul esok?
Atau Sirul akan terus bermain tarik tali?
Menurut bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, apa saja yang bakal didedahkan Sirul perlu disiasat pihak berkuasa.
"Polis kena siasat apa saja dakwaan mengenai siapa yang menyuruhnya selain mengesahkan ia betul atau tidak.
“Setiap perkara baru yang didedahkan perlu disiasat semula,” kata Musa yang berkhidmat sebagai ketua polis negara sejak 12 November 2006 sehingga 12 September 2010 seperti dilaporkan Astro Awani Online.
Sirul sebelum ini melarikan diri ke Australia dan tidak menghadiri perbicaraan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dan rakan setugas Ketua Inspektor Azilah Hadri, kerana bersalah membunuh Altantuya pada 18 Oktober, 2006 di pinggir bandar Shah Alam.
Bekas anggota Unit Tindakan Khas itu kini berada dalam tahanan Jabatan Imigresen Australia dan tidak akan dihantar pulang ke Malaysia kerana negara kanggaru itu tidak mengiktiraf hukuman maut.
Reaksi Najib jadi tanda tanya
Ketika ditemui pemberita semasa sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan kenyataan Sirul sebagai mengarut.
"Mengarut semua tu, mengarut," katanya sambil menggelengkan kepala apabila ditanya mengenai dakwaan Sirul pembunuh Altantuya yang mempunyai motif masih bebas.
Kenyataan Najib itu menimbulkan persoalan di kalangan pengguna media sosial dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Najib begitu cepat mengatakan Sirul mengarut sebagai “orang yang makan cili dan terasa pedasnya”.
"Sirul tidaklah menyebut mahupun mengaitkan perdana menteri dengan dakwaannya yang 'hanya menjalankan arahan' dalam kes pembunuhan Altantuya.
“Jadi mengapa pula perdana menteri memberi respons sedemikian rupa?” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu di Kuala Lumpur menjawab kenyataan Najib.
Ketua Jabatan Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Khairie Ahmad mengatakan Najib seharusnya tidak memberikan apa-apa jawapan ketika ditanya pemberita tentang dakwaan Sirul.
Menurut Khairie, pastinya jawapan ‘mengarut’ yang diberikan Najib mengenai isu pembunuhan Altantuya itu boleh menimbulkan pelbagai tanggapan.
“Polemik timbul apabila cara Najib jawab seolah-olah ingin mengetepikan persoalan tersebut atau menidakkan kemungkinan tentang perkara itu.
“Secara profesional sepatutnya, Najib jawab pertanyaan itu tidak sesuai ditanya dalam konteks tersebut dan mungkin perlu dijawab dalam keadaan lain atau pada sidang media yang lebih tersusun,” katanya seperti dilaporkan media.
Kes pembunuhan Altantuya tidak akan selesai selagi persoalan penting mengenainya tidak terjawab.
Selagi belum ada jawapan, selagi itulah “hantu Altantuya” akan terus berkeliaran menghantui pihak-pihak yang dikaitkan dengan pembunuhannya.
Untuk tidak memanjangkan lagi kes ini, adalah lebih baik pihak polis melakukan siasatan terhadap apa yang bakal didedahkan Sirul esok.
Siasatan perlu dijalankan dengan telus dah hasilnya perlu didedahkan kepada umum.
Kes pembunuhan Altantuya bukan seperti kes jenayah biasa dan ia menjadi tumpuan antarabangsa kerana melibatkan negara lain seperti Australia dan sudah tentu Mongolia. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive