24 March 2015

3 pekerja BFM disiasat isu video hudud

3 pekerja BFM disiasat isu video hudud
Polis hari ini merakamkan kenyataan daripada tiga kakitangan BFM yang terlibat dalam penerbitan video kontroversi berkaitan hudud.
Pasukan polis tiba pada jam 10 pagi tadi, diikuti pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Mereka disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” kata radio perniagaan itu dalam kenyataannya.
Seksyen 298 berkaitan kata-kata yang menjejaskan perasaan beragama seseorang.
Seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya,
Seksyen 233 pula berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan jaringan, yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau penjara RM50,000.
“Pengurusan BFM Media Sdn Bhd menyokong penuh pekerja-pekerja dalam melaksanakan tugas mereka.
“Radio stesen ini mempertahankan mereka dan tetap komited memberikan sokongan diperlukan mereka pada masa-masa sukar,” kata BFM.
Laporan dakwa hina Islam
Tujuh NGO hari ini bergabung membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Aisyah Mohd Tajuddin (atas) kerana didakwa menghina Islam.
Wartawan BFM Kupas itu sebelum ini tampil dalam video bertajuk “Hudud Isi Periuk Nasi”, yang menyebabkan dia menerima ugutan termasuk ugutan bunuh dan rogol.
Dalam video itu, Aisyah antara lain menyampaikan mesej bahawa Kelantan sepatutnya mengutamakan soal ekonomi dan bukannya pelaksanaan hudud.
Dengan sinis, Aisyah turut menunjukkan bungkusan nasi lemak yang didapati tidak mengandungi isi.
Video itu diterbitkan tidak lama selepas Kelantan berjaya meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah II, Rabu lalu. - M'kini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive