Niat puteri DAP Dyana Sofya Mohd Daud untuk berderma melalui gambar selfie mungkin baik tetapi ia tidak dilihat begitu oleh musuh politiknya Puteri Umno.
Malah, ia melarat kepada debat sama ada langkah itu kurang sopan, memalukan, tidak manis untuk seorang wanita dan mengeksploitasi tubuh badan.
"Selain dia ahli politik, Dyana perlu buat pendekatan ke arah kemasyarakatan dan tidak mengeksploitasi tubuh badan.
"Selain tidak sesuai dengan agama Islam sendiri dengan aksi yang memalukan, dia juga harus berfikir cara lain yang lebih sopan," ketua penerangannya Haryaty Hamdzah dilapor sebagai berkata kepada Astro Awani.
Bagaimanapun, bintang muda DAP itu, dalam Twitter sebentar tadi, hanya menjawab ringkas kecaman itu.
"Siku pun tidak nampak!" kata Dyana sambil mengulang semula laporan portal itu.
Facebook-nya semalam memuat naik gambarnya selepas bangun tidur dalam majalah wanita antarabangsa Marie Claire, untuk kempen hak wanita dan antikeganasan rumah tangga.
Gambar itu memaparkannya menggeliat di atas katil dengan memakai pakaian cerah dan berlengan panjang untuk kempen Wake Up To A Good Cause (Bangkit untuk Tujuan Baik) bagi membantu Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).
Dyana ketika dihubungi Malaysiakini semalam menegaskan “tiada isu” bergambar di ruang peribadi dan meminta orang ramai menumpukan kepada objektif kempen itu.
Dyana, lahir dalam keluarga Umno dan mendapat pendidikan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), mencetuskan kontroversi selepas menyertai DAP, parti yang sering dilabelkan "chauvanis Cina".
Beliau kemudian berkhidmat sebagai setiausaha politik pemimpin popular DAP Lim Kit Siang sebelum menjadi calon dalam pilihan raya kecil Teluk Intan, tetapi tewas tipis pada calon mapan BN Datuk Mah Siew Keong. - M'kini
No comments:
Post a Comment