• Haron DinHaron Din
 1 / 1 
SHAH ALAM - Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu menggantikan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

Perkara tersebut diputuskan sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama Pas selepas mendapati Dr. Haron merupakan calon yang paling layak untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang dipetik sebuah portal memberitahu, pelantikan tersebut diputuskan pada Ahad lalu dalam satu mesyuarat di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur.

"Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob dipilih memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am Pas yang baharu.

"Perlembagaan Pas menyatakan jawatan Mursyidul Am boleh dipilih oleh 15 anggota Majlis Syura Ulama (MSU) untuk tempoh lima tahun," katanya.

Katanya, jawatan Mursyidul Am tidak terikat dengan penggal muktamar sepertimana Jawatankuasa Pas Pusat.

Sebelum ini, ada cadangan oleh pihak-pihak tertentu dalam Pas yang mahukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Mursyidul Am yang baharu.