Amat menarik untuk kita lihat samada akar umbi Pas akan melaksanakan apa yang disarankan oleh Koon Yew Yin dan mereka yang lain yang telah menulis mengenainya, tolak Al Quran, kerana itulah maksud pada dasarnya.
THE CORRIDORS OF POWER
Raja Petra Kamarudin
Koon Yew Yin mungkin hanya menyatakan apa yang kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya bukan-Islam, rasakan berkenaan Islam di dalam artikelnya PAS moderates: Break away now, not later yang disiarkan oleh The Malay Mail.
Perpecahan mutakhir di dalam PAS dilihat sebagai pertembungan di antara mereka yang menyokong Anwar dan mereka yang tidak menyokongnya. Ini hanyalah separuh benar. Perpecahan yang lebih besar sebenarnya adalah di antara golongan Islamis dan Sekularis. Dan ini adalah apa yang Koon Yew Yin katakan secara dasarnya.
Kita perlu ingat bahawa kelahiran PAS itu sendiri pada tahun 1951 (pada masa itu dikenali sebagai Parti Islam Se Malaya) adalah kerana perbezaan pendapat di antara Islamis dan Sekularis di dalam Umno.
Golongan Islamis di dalam Umno mahu melihat Islamisasi berlaku, sementara Sekularis mahu melihat sekularisasi, walaupun bukan semua Islamis di dalam Umno adalah golongan ulama atau ustaz. Sebahagiannya merupakan golongan profesional yang menerima pendidikan Barat.
Perisiwa ini bermula pada bulan Ogos 1951. Presiden dan pengasas Umno, Onn Jaafar, mahu membuka keahlian Umno kepada bukan-Melayu. Pihak parti telah menentang idea ini dan Onn mengatakan jika parti tidak bersama dengannya maka beliau terpaksa berundur.
Tunku Abdul Rahman pada mulanya enggan mengambil alih (beliau mahukan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih) tetapi akhirnya berjaya didesak untuk menggantikannya. Namun, Tunku adalah seorang Sekularis di mana beliau minum, berjudi dan menghadiri lumba kuda setiap hujung minggu. Beliau tidak mengendahkan apa yang golongan Islamis katakan berkenaan gaya hidupnya yang tidak Islamik. (Malah, Tunku adalah orang yang meluluskan kasino pertama di Malaysia, Genting).
Tiga bulan kemudian, pada bulan November, semua golongan Islamis meninggalkan Umno dan menubuhkan parti Islam mereka sendiri.
Sekarang hampir 64 tahun berlalu, kita bertemu dengan pusingan yang sama. Sebahagian di dalam PAS mahu menjadikan parti ini lebih mirip kepada Umno (Sekular) sementara yang lain mahu parti itu mengekalkan objektif asal penubuhannya (sebagai parti Islam).
Inilah yang sebenarnya berlaku sekarang.
Golongan sekular dalam PAS hanya bimbang terhadap satu perkara: bagaimana hendak memenangi pilihanraya umum akan datang dan membentuk kerajaan pusat yang baru. Golongan Islamis, sebagaimana yang sering mereka katakan, lebih mengambil berat terhadap mempertahankan Islam daripada memenangi pilihanraya.
Di sinilah wujud perbezaan objektif mereka. Golongan Islamis dan Sekularis tidak berkongsi misi dan visi yang sama. Golongan Islamis mahu mendapat keredhaan Tuhan sementara Sekularis mahu mendapatkan kuasa politik. Oleh itu, mereka tidak mungkin bertemu di titik persamaan kerana dua objektif tersebut tidak serasi.
Untuk memenangi pilihanraya umum akan datang dan membentuk kerajaan pusat yang baru, ia perlu kepada platform Pakatan Rakyat. Ia tidak mungkin berlaku melainkan ketiga-tiga parti bekerjasama. Namun, jika Islamis mengemukakan agenda Islamik mereka, maka Pakatan Rakyat akan bergolak. Ini bermakna Pakatan Rakyat tidak akan berjaya.
Pada tahun 2008 dan 2013, bukan-Islam mengundi PAS sementara Muslim mengundi DAP. Ini menyebabkan Pakatan Rakyat berjaya. Tetapi jika bukan-Islam tidak mahu mengundi PAS sementara Muslim tidak mahu mengundi DAP, Pakatan Rakyat akan kalah banyak kerusi yang diperolehinya pada 2008 dan 2013.
Inilah umumnya apa yang berlaku.
Oleh itu golongan Islamis di dalam PAS perlu dikeluarkan, termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang, dan seorang yang dilihat lebih sekular, liberal atau moderat perlu mengambil alih. Ini akan memberi keselesaan kepada bukan-Islam untuk mengundi PAS dan hanya dengan itu Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menguasai Pusat.
Bukan Islam hanya mahu menang dalam pilihanraya. Itu sahaja yang penting bagi mereka. Dan jika cara untuk menang adalah dengan menjadikan PAS lebih sekular dan kurang Islamik maka inilah yang mereka perlu lakukan.
Hakikat bahawa Koon Yew Yin dan lain-lain menggunakan perkatan seperti ‘moderat’ (positif) dan ‘tegar’ (negatif) adalah untuk menanamkan di dalam fikiran rakyat Malaysia bahawa sekular adalah golongan yang baik sementara Islamis adalah golongan yang jahat. Oleh itu, golongan jahat yang merupakan penghalang kepada Pakatan Rakyat daripada menguasai kuasa di Pusat perlu disingkirkan.
Apa yang orang seperti Koon Yew Yin katakan adalah Muslim perlu menolak Al Quran, tanpa perlu mengatakan secara jelas. Sudah tentu mengatakan sedemikian akan membunuh politik mereka. Tetapi implikasinya membawa maksud seperti itu: tinggalkan Al Quran.
Dan ini merupakan sesuatu yang amat sukar bagi kebanyakan Muslim lakukan. Memenangi pilihanraya mungkin penting, tetapi jika mereka perlu menolak Al Quran hanya untuk menang pilihanraya, kebanyakan Muslim tidak akan bersetuju.
Dalam masa tiga bulan kita bakal mengetahui apa yang akan berlaku. Adakah akar umbi PAS sanggup untuk menolak Al Quran bagi membantu Pakatan Rakyat memenangi kuasa Pusat?
Jika Tok Guru Nik Aziz masih hidup jawapannya sudah pasti tidak. Malah, PAS dilahirkan 64 tahun dahulu pada 1951 kerana golongan Sekular di dalam Umno dilihat menolak Al Quran dan mengutamakan Sekularisma.
Sekarang, kedua-dua golongan Sekularis dan Islamis di dalam PAS sedang giat berkempen. Mereka mahu ahli-ahli mereka menyokong samada sekularisasi atau Islamisasi. Dalam bulan Jun, ahli-ahli perlu membuat keputusan samada mempertahankan objektif asal parti atau mengubah PAS menjadi seperti Umno.
Amat menarik bagi kita menyaksikan samada akar umbi PAS akan melaksanakan apa yang telah ditulis oleh Koon Yew Yin dan lain-lain seperti yang telah saya katakan, tolak Al Quran, kerana inilah pada asasnya yang dimaksudkan - malaysia today
No comments:
Post a Comment