Laluan yang dikatakan kawasan larangan dilalui oleh beberapa penerbangan yang lain selain penerbangan Malaysia Airlines (MAS), dengan kekerapan lebih besar. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Julai 2014
Ketika pelbagai pihak menyalahkan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) kerana mengambil laluan di atas kawasan pergolakan di timur Ukraine, media Jerman melaporkan penerbangan Singapura (SIA) melalui kawasan itu lebih banyak kali berbanding MAS.
SIA melalui kawasan Donetsk yang dikuasai pemberontak Ukraine itu sebanyak 75 kali berbanding MAS yang hanya melaluinya sebanyak 48 kali, lapor Der Spiegel.
Majalah berita itu melaporkan penerbangan Rusia Aeroflot melaluinya sebanyak 86 kali sepanjang tujuh hari lalu, Ukraine International Airlines 62 kali manakala syarikat penerbangan terbesar Jerman, Lufthansa, 56 kali.
"Penerbangan itu direkodkan dalam masa tujuh hari lalu dalam radius 150 batu dari bandar industri Ukraine.
"Dari segi ranking syarikat penerbangan, MAS berada di tempat kelima iaitu 48 penerbangan... data menunjukkan Donetsk mempunyai trafik udara yang sibuk," kata Spiegel Online.